Kelantan terus bentang belanjawan defisit

Kelantan terus bentang belanjawan defisit

Mohd. Nassuruddin Daud
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan sekali lagi membentangkan belanjawan defisit, namun jumlahnya dianggarkan menurun kepada RM93.02 juta bagi Belanjawan 2025 berbanding RM178.49 juta pada Belanjawan 2024.

Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, jumlah defisit berkenaan berkurang sebanyak RM85.47 juta ataupun 47.88 peratus.

“Pengurangan defisit menunjukkan usaha kerajaan negeri ke arah mencapai keseimbangan bajet dari tahun ke tahun bagi menjamin pengukuhan aliran tunai dan rizab tunai kerajaan.

“Ia dilakukan tanpa sedikit pun mengurangkan peruntukan program dan projek melibatkan kepentingan rakyat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Kelantan 2025: Keberkatan, Kesejahteraan dan Keseimbangan Untuk Kemakmuran Negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu memberitahu, Belanjawan Kelantan 2025 akan berpaksikan lima teras utama dengan mengambil kira prinsip-prinsip Islam.

“Lima teras itu adalah Pembangunan sahsiah berpandukan al-Quran dan pembudayaan amal Islami, Pemerkasaan kesejahteraan komuniti serta pemerdayaan rakyat secara bersasar dan komprehensif.

“Pembangunan berasaskan modal optimum dan unjuran pelaksanaan berkesan serta Kecemerlangan kecekapan pentadbiran dan kemampanan kewangan kerajaan,” ujarnya.

Mohd. Nassuruddin berkata, anggaran perbelanjaan mengurus kerajaan negeri pada tahun hadapan dijangka sebanyak RM1.09 bilion berbanding RM1.14 bilion pada tahun ini.

“Anggaran ini berkurang sebanyak RM55.46 juta disebabkan oleh penurunan anggaran Peruntukan Wang Terkanun sebanyak RM77.03 juta kepada RM236.33 juta berbanding RM313.36 juta pada tahun ini susulan penyusunan semula anggaran perbelanjaan pembangunan.

“Ia juga disebabkan oleh pengurangan peruntukan pinjaman sebanyak RM13.90 juta yang mana mulai tahun ini, peruntukan pinjaman telah disalurkan melalui KumpulanWang Amanah Pinjaman Kerajaan Negeri Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Nassuruddin berkata, anggaran hasil kerajaan negeri bagi tahun hadapan sebanyak RM997.26 juta meliputi hasil cukai (RM230.51 juta), hasil bukan cukai (RMRM354.93 juta) dan terimaan bukan hasil (RM411.82 juta).

“Jumlah tersebut menunjukkan berlakunya kenaikan dalam hasil sebanyak RM30.01 juta, iaitu sebanyak 3.10 peratus berbanding anggaran hasil tahun 2024 sebanyak RM967.25 juta,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya