PEMBUKA sebuah f ilem adalah kapsul yang sepatutnya menceritakan perca dari keseluruhan struktur naskhah.
Namun Weekend in Taipei (WIT) dibuka dengan sangat generik, suasana di sekitar bandar Taipei yang sukar saya tangkap apakah ‘mood’ filem ini- ganas, seram atau ngeri.
Namun selepas 10 minit tayangan, saya tidak menjangkakan George Huang membawa haluan filem ini dengan sangat berbeza daripada tanggapan asal.
Isinya utamanya adalah jenaka yang padatkan dengan aksi. Ia bukanlah filem ngeri brutal yang saya fikirkan dari awal.
WIT sebenarnya sangat straight forward, tidak bersimpang siur atau plot yang digarap dengan metafora yang perlu dibedah.
Dari awal filem ini dimainkan, saya sebenarnya sudah dapat melihat sangat jelas bahawa ini adalah filem yang ditulis oleh penulis skrip bukan orang Asia, melihat kepada kecanggungan beberapa dialog atau ‘sentuhan’ yang selalu hanya kita lihat di filem eropah.
Ia mengisahkan tentang John Lowlor lakonan Luke Evans iaitu seorang ejen anti dadah Amerika Syarikat (DEA) yang kembali ke Taipei untuk menumpaskan legasi dadah terkuat negara itu menggunakan platform industri maritim iaitu Kwang.
Ketika bertugas itulah dia bertemu semula cinta lamanya yang juga gadis Taiwan, Joey. Lebih mengejutkan mereka sebenarnya mempunyai anak bersama dan WIT menceritakan penyatuan keluarga ini.
Ada beberapa adegan aksi dalam filem ini yang sebenarnya mempunyai koreografi kemas dengan aturan unsur jenaka.
Walaupun ada dialog yang aneh (jika dituturkan masyarakat Asia) namun saya harus memuji bagaimana mereka meletakkan jenaka di tengah ketegangan aksi.
Adegan kesukaan saya adalah bagaimana Lowlar diserang beramai-ramai di sebuah restoran mewah setelah penyamarannya ‘kantoi’ semasa bertugas.
Namun begitu malangnya, Sung Kang sebagai Kwang tidak memberikan energi yang sama di dalam layar. Lakonannya tampak biasa sahaja diapit Luke Evans dan Gwen Lun-mei di skrin yang sama.
Sebagai seorang penonton yang mencari keunikan pada ciri tempat dan budaya sesebuah naskhah, saya agak kecewa menonton WIT yang entah kenapa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.
Bayangkan, Joey, yang berasal dari perkampungan nelayan hanya bercakap bahasa Inggeris. Di manakah logiknya? Bahkan sesama penyangak pun bercakap bahasa Inggeris walaupun masing-masing faham sahaja bahasa Mandarin.
Alangkah bagusnya sekiranya Lowlor yang kembali ke Taipei pula belajar bahasa Mandarin dan budaya di sana.
Belum lagi babak ketika pertama kali Lowlor kembali ke Taipei selepas 15 tahun, orang pertama yang menjemputnya dari lapangan terbang adalah warga Eropah.
Apa sudah jadi dengan kenalannya orang orang Taiwan sepanjang dia bertugas di Taipei dulu? Bagi saya WIT tidak kurang lebih hanyalah filem Eropah yang menyarung ‘baju’ masyarakat Taiwan.
Tetapi, saya tidak menafikan ia masih menghiburkan. Saya f ikir cerita ini mempunyai kelompok penggemar tersendiri melihat kepada plot santai dan jenaka bersahaja yang dipaparkan.
Cuma jika anda seorang yang menggilai filem aksi Hollywood blockbuster, WIT mungkin akan terasa seperti ‘ha? itu sahaja?’ Dan berjalan keluar dari panggung dengan hampa.