ALOR SETAR: Seramai 2,000 pesilat termasuk seawal usia lima tahun berentap dalam Kejuaraan Silat Terbuka Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa 2024 di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti.
Kejohanan yang mempertandingkan sembilan kategori itu membuka tirai malam tadi dan akan berlangsung hingga Isnin depan bagi merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM56,000.
Penaung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, matlamat utama pertandingan yang dianjurkan hasil kerjasama Pesaka dengan Pertubuhan Silat Pusaka Gayong Malaysia itu adalah untuk melahirkan pelapis silat negara.
“Dalam kejohanan ini, penyertaan pesilat bermula dari usia lima dan enam tahun untuk kategori Pra Tunas, manakala peserta berusia 14 hingga 40 tahun bagi kategori dewasa 5×5.
“Apa yang lebih utama, kejohanan ini menjadi medan untuk melahirkan atlet Kedah ke Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di mana peserta berusia 17 hingga 19 tahun akan berentap dalam kategori Pra Sukma yang diadakan secara tertutup,” katanya selepas majlis perasmian di sini, malam tadi.
Menurut Zuraidi, selain mencari atlet Sukma, kejohanan itu juga menyasarkan untuk melahirkan pesilat pelapis dalam usia remaja sebagai persiapan untuk pasukan negeri dan negara.
Katanya, penganjuran edisi sulung itu turut diharapkan dapat menyemarakkan kembali sukan silat di negara ini dan di Kedah khususnya.
“Kami mahu pastikan penganjuran sukan mempertahankan diri yang sinonim dengan masyarakat Melayu ini kekal relevan, disebabkan itu berbanding beberapa negara Asean kali ini, kami cadang untuk jemput peserta dari Eropah juga bagi edisi seterusnya.
“Melihat sambutan yang amat menggalakkan diterima daripada peserta, Kejuaraan Silat Terbuka Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa ini akan dimasukkan dalam takwim silat negara untuk dianjurkan setiap tahun,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Zuraidi berkata, Pesaka Kedah juga sudah memulakan usaha untuk menubuhkan sebuah akademi silat di Gurun, dekat sini agar dapat melatih bakat-bakat muda di negeri dengan latihan yang jitu.
“Untuk Sukma 2026 kelak, kami mahu memastikan bilangan pingat emas dibawa pulang oleh kontinjen Kedah bertambah berbanding hanya dua emas, empat perak dan satu gangsa dalam edisi baru-baru ini.
“Bagi menyemarakkan lagi semangat atlet yang bakal bertanding di Selangor kelak, insentif pingat emas yang akan diberikan kepada mereka adalah sebanyak RM20,000 di samping insentif disediakan pihak kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN