ALOR SETAR: Kerajaan Kedah memperuntukkan RM30 juta sebagai tambahan untuk pembayaran gaji semua penjawat awam negeri yang menerima opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kenaikan itu akan dibayar mulai gaji Disember ini yang melibatkan keseluruhan peruntukan berjumlah RM2 juta.
“Kerajaan bersetuju supaya Sistem Saraan Malaysia (SSM) digantikan kepada SSPA berkuatkuasa 1 Disember ini. Selaras dengan pengumuman itu, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM30 juta tambahan secara keseluruhan kepada semua jabatan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini semalam.
Sementara itu, Muhammad Sanusi turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM2,000 seorang kepada 5,376 penjawat awam negeri itu.
Beliau berkata, pembayaran itu akan dibuat pada Mac tahun hadapan bersempena Hari Raya Aidilfitri dan seterusnya pada Jun tahun sama.
Katanya, pemberian BKK itu bagi hargai usaha dan sumbangan penjawat awam negeri serta jentera pentadbiran.
“Jumlah keseluruhan peruntukan bagi maksud itu adalah RM12 juta,” katanya.
Jumlah BKK tersebut adalah sama dengan tahun ini iaitu RM2,000 seorang yang dibayar kepada 5,600 penjawat awam negeri ketika itu.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, polisi menyekat aktiviti perlombongan di kawasan hutan simpan kekal (HSK) perlu dihapuskan jika negara berhasrat meneroka unsur nadir bumi (REE) yang berpotensi menjadi sumber kekayaan baharu.
Menurut beliau, selagi polisi tersebut berkuat kuasa, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perlombongan mineral itu tidak akan dapat digubal.
Katanya, ketiadaan SOP yang seterusnya menghalang pengeluaran lesen melombong (ML) itu amat merugikan kerana bahan itu mendapat permintaan tinggi khususnya dalam pembuatan bateri untuk kenderaan elektrik (EV).
“Saya sudah cadang dalam mesyuarat Majlis Mineral Negara tahun lalu supaya dihapuskan sahaja polisi nombor 12 iaitu tidak menyokong sebarang usaha perlombongan dalam HSK, ini kerana kebanyakan galian mineral itu ada dalam hutan simpan.
“Bila permohonan menjelajah (REE) selesai, kita tidak boleh nak keluarkan lesen perlombongan kerana perlu dilakukan kajian impak alam sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) terlebih dahulu.
“EIA pula sudah tentu tidak akan lulus kerana polisi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam adalah tidak menyokong sebarang perlombongan dalam hutan simpan, maka kita terpaksa tunggu langkah mereka untuk menyegerakan proses ini,” katanya. – UTUSAN