Kebenaran akan terbongkar tidak lama lagi - Aisha Retno - Utusan Malaysia

Kebenaran akan terbongkar tidak lama lagi – Aisha Retno

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Enggan berdiam diri, penyanyi, Aisha Retno memberi bayangan kebenaran berhubung pembatalan konsertnya anjuran Kharisma Music, baru-baru ini.

Perkara itu telah dikongsikan oleh Aisha selepas tular video seorang usahawan produk, Madammu atau Eriyca Baiduri yang mendedahkan taktik licik seorang penyanyi wanita yang dianggap seperti ‘ular’.

“Itu dia, Queen! Terima kasih kerana bersuara. Semoga dimurahkan rezeki selalu dan ya, kebenaran akan terbongkar tidak lama lagi, Insya-Allah,” katanya di ruangan komen sebuah video yang tular di TikTok.

Dalam perkongsian sama, Aisha turut menghantar semula atau ‘repost’ video usahawan tersebut yang juga dipercayai pernah menjadi mangsa ‘penipuan’ penyanyi tersebut selain meminta orang ramai berhati-hati dengannya.

“Saya tidak mahu bercerita, tapi awak tahu tak seekor ular yang pandai berkata-kata dan pandai membelit. Hati-hati.

“Tuhan tidak bagi dia terkenal sebab Tuhan tahu kalau dia terkenal, dia macam mana. Kadang-kadang Tuhan dia nilai orang sama ada mereka layak atau tidak Dia nak curahkan rezeki.

“Ada orang, bila dia senang atau Tuhan bagi dia rezeki lebih mereka tidak boleh kendalikannya. Saya tidak kenal Aisha, tapi ‘dia’ saya kenal. Berhati-hatilah sesiapa yang berurusan dengan dia,” jelasnya.

Sebelum ini, penyanyi yang juga seorang komposer itu difahamkan pernah menjadi penyanyi lagu tema produk kecantikan tersebut namun digantikan dengan penyanyi lain iaitu Dayang Nurfaizah.

Sedar dirinya pernah diambil kesempatan oleh individu yang sama, Madammu enggan melondehkan helah individu tersebut meskipun rasa amarahnya dengan konflik terdahulu belum reda.

“Saya boleh saja londehkan segala-galanya. Saya punya panas hati dengan dia daripada dahulu sampai sekarang tidak pernah habis lagi. Cuma, silapnya saya pun tidak faham sangat ketika itu perihal keluar lagu, buat lagu ini bukan dunia saya.

“Jadi, bila dia tahu itu kelemahan saya dia ambil kesempatan. Orang yang suka aniaya orang ini begitulah dia. Tuhan juga gantikan saya penyanyi yang lagi bagus daripada dia iaitu Dayang Nurfaizah,” katanya.

Pendedahan tersebut dikaitkan dengan penganjur konsert Aisha yang sebelum ini mengumumkan pembatalan konsert Aisha Retno Malam Sutera Live In Concert pada 9 November lepas atas dakwaan jualan tiket yang tidak memberangsangkan.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Sutera itu menyifatkan pembatalan tersebut sebagai penindasan dan tidak profesional sehingga mengakibatkan dia kehilangan beberapa tawaran persembahan.

Pada 21 Oktober lalu, Yuka dalam sebuah sidang media berkata dia akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penyanyi, Aisha Retno dan semua pihak yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan yang mencemarkan imej dan syarikatnya, Kharisma Music.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya