PAPAR: Para pesakit yang kurang stabil serta memerlukan rawatan dan penjagaan rapi telah dirujuk ke hospital-hospital yang berdekatan susulan kebakaran yang memusnahkan sepenuhnya bangunan stor farmasi di Hospital Papar semalam.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Asits Sanna berkata, pihak hospital dengan koordinasi bersama Ibu Pejabat Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah mengaktifkan pelan kontigensi untuk memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terganggu serta sentiasa siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Beliau mengadakan lawatan ke Hospital Papar semalam sebaik sahaja menerima berita mengenai kebakaran yang memusnahkan bangunan stor farmasi di hospital berkenaan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (merangkap Exco Kesihatan Negeri), Datuk James Ratib turut bergegas ke Hospital Papar untuk memantau situasi serta menyantuni warga hospital dan pesakit-pesakit yang berada di dalam wad.
Sementara itu, Ahli Parlimen Papar yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pejabat Parlimen bertindak mendirikan khemah sementara untuk pesakit dan kakitangan hospital yang terjejas.
“Bermula esok, untuk sementara waktu ini, Pejabat Parlimen Papar akan membantu untuk membekalkan makanan dan minuman sehingga pihak hospital dapat menyediakan makanan melalui pihak pembekal luar.
“Ini kerana bahagian dapur penyediaan makanan hospital turut terjejas dalam kejadian kebakaran berkenaan,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, tiada mangsa terlibat dalam kebakaran yang mengakibatkan dua bangunan di Hospital Papar terjejas dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7 malam itu.
Katanya, berdasarkan laporan akhir, kebakaran di stor farmasi Hospital Papar turut mengakibatkan sebuah bilik makmal kajian terbakar sebahagiannya akibat terkena bahan.-UTUSAN