PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini di peringkat akhir bagi memperkemas struktur perjawatan dan penambahbaikan perkembangan kerjaya Skim Perkhidmatan Imigresen (KP).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebelum ini, beberapa siri perbincangan diadakan antara KDN dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membincangkan berkaitan
ruang kerjaya lebih baik buat skim ini.
“Buat masa ini jawatan tertinggi skim KP adalah di gred 54, namun, JIM memohon untuk dipertimbangkan sehingga gred Jusa B dan diikuti dengan gred-gred yang lain seperti Jusa C.
“JIM juga mahu bilangan perjawatan bagi skim KP ini diperluaskan kepada jawatan-jawatan strategik lain seperti jawatan Pengarah Negeri, Pengarah Bahagian dan Atase Imigresen,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.
Katanya, penambahbaikan skim KP itu penting bagi memenuhi keperluan di kaunter perkhidmatan, pintu masuk dan lain-lain tempat.
Saifuddin berkata, JIM juga mahu meningkatkan gred penyeliaan dari KP22 kepada KP26 dan
KP28 selaras dengan teguran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu
penyeliaan.
“Selain itu, ada juga cadangan untuk mewujudkan Skim Bersepadu Imigresen dengan menggabungkan Skim Perkhidmatan Imigresen dan Skim Bersepadu Penolong Penguasa Imigresen/Penguasa
Imigresen,” katanya.
Katanya, cadangan penambahbaikan ini adalah selaras dengan saranan oleh SPRM bagi mengatasi
masalah integriti dan meningkatkan penyeliaan.
Jelasnya lagi, apabila ada ruang kerjaya lebih baik, motivasi diri akan meningkat dan secara tidak
langsung mewujudkan keadaan keseronokan dalam bekerja, sekali gus akan memberi khidmat terbaik. – UTUSAN