ISKANDAR PUTERI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memastikan aktiviti penyeludupan tidak berleluasa sempena pelaksanaan zon bebas cukai di Forest City, bermula Jumaat ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, Kompleks Kastam di Forest City akan dilengkapi dengan teknologi terkini dalam memperkasakan operasi penguatkuasaan.
Antara teknologi yang akan digunakan termasuk teknologi Kecerdasan Buatan (AI), ‘face recognition’, mesin pengimbas dan pusat kawalan.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri Johor dan juga pengurusan Forest City kerana kompleks ini merupakan yang pertama menggunakan teknologi tinggi di Malaysia.
“Jika penggunaan teknologi ini berjaya, kita akan memperluaskan penggunaan sistem ini di seluruh negara. Jadi, ini boleh dikatakan projek perintis dalam memastikan operasi perkastaman di Forest City ini berjalan lancar,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kompleks Kastam Diraja Malaysia Forest City di Hotel Marina yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, di sini hari ini.
Anis Rizana berkata, lokasi Kompleks Kastam Forest City yang baharu menjadikan penguatkuasaan pihaknya lebih fokus apabila ditempatkan di laluan tunggal keluar dan masuk ke kawasan berkenaan.
“Kompleks Kastam sebelum ini berada di bawah sedikit. Jadi, yang baharu ini telah dipindahkan agar pemantauan lebih berkesan dapat dibuat bagi mengekang aktiviti penyeludupan. Ini bermakna sesiapa sahaja yang masuk dan keluar dari kawasan ini akan dapat dipantau menggunakan teknologi yang disediakan,” katanya.
Sementara itu, Md. Othman pula mencadangkan penggunaan teknologi dron bagi memantau dan memastikan tiada aktiviti penyeludupan berlaku di kawasan Forest City selepas diisytiharkan sebagai zon bebas cukai. – UTUSAN