KEMAMAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun cedera di muka dan dahi dipercayai dipukul seorang pemuda di daerah ini, semalam.
Difahamkan, pemuda berusia 21 tahun itu naik berang selepas mengetahui anak saudara lelakinya yang berusia enam tahun dipercayai diliwat kanak-kanak itu yang merupakan jirannya.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.45 petang semalam selepas kakak mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Jerneh dekat sini.
“Kakak mangsa membuat laporan mendakwa adiknya dipukul dan diugut oleh bapa saudara jirannya ketika berada di rumah jiran.
“Kanak-kanak itu dilihat mengalami lebam dan calar di bahagian muka dan dahi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Hanyan berkata, susulan itu pihaknya telah berjayamenahan lelaki itu di kediamannya di kampung yang sama, kira-kira pukul 12.20 malam tadi.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek yang merupakan seorang buruh tidak mengaku memukul mangsa namun suspek mendakwa memarahi dan meletakkan cili di mulut mangsa.
“Suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan hasil ujian urin mendapati dia bebas dadah,” katanya.
Hanyan berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.
Dalam pada itu, Hanyan berkata, pihaknya turut menerima laporan mengenai kes kanak-kanak berusia enam tahun yang mendakwa diliwat kanak-kanak berusia sembilan tahun itu, kira-kira pukul 9 malam tadi.
“Kita telah membuka kertas siasatan untuk kedua-dua kes dan siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dilakukan. Kita juga menyiasat kes ini mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya. – UTUSAN