PETALING JAYA : Polis mengesahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun cedera selepas disyaki didera penjaga sementara yang merupakan rakan wanita kepada ibu mangsa di Taman Desaria, di sini.
Dalam kejadian itu, mangsa cedera di bahagian mata, tangan dan luka di punggung.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu dijaga oleh wanita terbabit, selepas ibu mangsa ditahan atas kesalahan dadah pada 18 September lepas dan dijamin suaminya pada 6 November lalu.
“Apabila mengambil anak, mereka mendapati terdapat kecederaan pada kanak-kanak itu. Penjaga sementara tersebut memberi alasan mangsa cedera akibat terkena mercun,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke klinik untuk rawatan pada 8 November lalu dan laporan polis dibuat oleh doktor pada 9 November lepas.
“Setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes siasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak Kanak 2001 (Akta 611).
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau pegawai penyiasat, Inspektor R Daamotaran Naidu ditalian 019-6551269,” jelasnya. – UTUSAN