PONTIAN: Setelah sepi daripada sebarang kemenangan sejak tahun 2013, Kampung Permatang Duku, Benut, di sin sekali lagi mengukir kejayaan apabila muncul johan Anugerah Desa Madani (ADM) Peringkat Negeri Johor tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kawasan (5) Mukim Benut, Hamid Amin@ Abd. Latif berkata, anugerah tersebut merupakan satu pencapaian membanggakan yang dinilai berdasarkan kepada enam teras utama penilaian.
Katanya, enam teras utama penilaian ialah ekonomi, tadbir urus berkesan, kemampanan, kesejahteraan desa, modal insan, inovasi dan aspirasi.
Menurut beliau, kejayaan ini juga ditujukan kepada kira-kira 2,000 penduduk Kampung Permatang Duku yang sentiasa menyokong dan memberikan kerjasama bagi menjayakan setiap program yang dijalankan.
“Setelah sepi dari kejayaan selama 11 tahun ini, kini kami kembali sebagai Kampung Tradisional terbaik Negeri Johor mengalahkan sembilan lagi kampung yang bertanding pada ADM 2024.
“ Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW ) Datuk Rubiah Wang di Taman Ekspo Pertanian ( MAEPS ) Serdang, semalam.
Sebagai johan Kampung Permatang Duku membawa pulang wang tunai RM30,000, sijil dan piala, mankala tempat kedua disandang oleh Kampung Kesang Tasek, Tangkak dan ketiga Parit Kemang, Batu Pahat.
Tambah Hamid@ Amin, sebelum ini kampungnya juga pernah menjadi johan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Peringkat Kebangsaan pada tahun 2010 dan tempat ketiga Anugerah Desa Lestari ( ADL ) pada tahun 2013.
Sementara itu, Setiausaha JPKK Kawasan (5) Mukim Benut, Mohd. Asri Abas berkata, selepas ini banyak ‘ kerja rumah’ perlu dilakukan jika menyertai pertandingan ADM Peringkat Kebangsaan.
Katanya, walaupun telah menepati enam teras utama penilaian sebelum ini, perlu ditambah baik dan menaik taraf beberapa perkara bagi menyaingi kampung-kampung tradisional dari seluruh negara.
Menurut beliau, tanggungjawab yang besar ini bukan sahaja memerlukan sokongan dari penduduk kampungnya sendiri tetapi juga Kerajaan Negeri Johor dan Pentadbiran Daerah Pontian. – UTUSAN