GUA MUSANG: Sebanyak RM2.5 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan kepada Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bagi melaksanakan projek dan program di Kampung Batu Papan, Gua Musang Kelantan.
Sebanyak 18 projek pembaikan/naik taraf dan ubahsuai serta pembinaan baharu telah dilaksanakan di mana Kampung Batu Papan ini merupakan Kampung Angkat Madani yang pertama bagi KPN di negeri Kelantan.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pemilihan kampung itu bertepatan dengan kriteria digariskan oleh kerajaan iaitu kampung yang mempunyai liputan kemudahan bawah 50 peratus dan tidak lengkap yang memerlukan perhatian khusus.
Katanya, program itu merupakan komitmen kerajaan dalam membangunkan infrastruktur dan meningkatkan taraf hidup kesejahteraan rakyat.
“Sebanyak 18 kerja fizikal sudah dilaksanakan melibatkan pemasangan lampu solar, pembaikan dewan dan tabika, pembaikan ruang riadah dan sukan serta naik taraf infrastruktur rekreasi dan sosial.
“Program Kampung Angkat Madani ini memberi peluang kepada masyarakat desa untuk memperbaiki taraf hidup dan mengurangkan jurang ketidaksamaan antara bandar dan desa,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Program Kampung Angkat Madani di Kampung Batu Papan di sini semalam.
Aaron memberitahu, secara keseluruhannya program ini memberi tumpuan kepada pengukuhan jaringan sosial, pembangunan kapasiti individu dan memperluas akses kepada peluang pembangunan lebih baik.
Beliau yakin dengan semangat kerjasama dan komitmen semua pihak akan dapat mencapai visi untuk membangunkan kampung-kampung di seluruh negara ke arah masyarakat lebih sejahtera, maju dan berdaya saing.
“Kerajaan menerusi Belanjawan 2024 telah mempertingkatkan capaian kemudahan asas melalui pendekatan Whole of Government.
“Sebanyak 42 buah kampung di seluruh negara terpilih sebagai Kampung Angkat Madani membabitkan peruntukan RM100 juta,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Batu Papan, Awang Idris berkata, projek itu merupakan bukti kerajaan komited meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan desa.
“Pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan ini dapat menaik taraf hidup penduduk serta menyemai semangat silaturahim antara kerajaan dengan rakyat,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Bazlin Yusoff, 45, pula berkata, sebelum ini Kampung Batu Papan kekurangan infrastruktur khususnya tempat rekreasi dan permainan.
Katanya, pihaknya juga gembira apabila Gua Madu di kampung itu sudah dinaik taraf dan bakal menarik kedatangan pelancong.
“Kerja pembaikan dan membina tapak glamping termasuk menaik taraf kedai makan telah dilakukan di Gua Madu.
“Penduduk Kampung Batu Papan akan mendapat limpahan ekonomi daripada projek serta kemudahan yang telah dinaik taraf,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Nurulasyikin Tuan Mustapha, 29, berkata, penduduk Kampung Batu Papan terutamanya belia kampung mendapat manfaat kemudahan projek yang dilaksanakan di kawasan mereka.
Katanya, sebelum ini mereka tidak mempunyai kemudahan gelanggang futsal berbumbung yang besar untuk beriadah.
“Melalui projek yang dilaksanakan, banyak kemudahan yang telah dibuat selain projek pembinaan gelanggang futsal berbumbung, dewan terbuka, membaik pulih tabika Kemas, pemasangan 34 lampu jalan solar, keceriaan Gua Madu, dan menaik taraf Pusat Komuniti Desa.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan dan Kementerian Perpaduan Negara yang menjayakan pelbagai projek serta kemudahan untuk kami,” katanya. – UTUSAN