Kami masih berhubung, doakan yang terbaik saja - Baim Wong - Utusan Malaysia

Kami masih berhubung, doakan yang terbaik saja – Baim Wong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Di saat isu rumah tangganya menjadi sorotan, pelakon dan pengarah Indonesia, Baim Wong memohon agar orang ramai mendoakan yang terbaik buat keluarganya.

Tampak tenang meskipun sedang menjalani proses perceraian bersama isterinya, Paula Verheoven, Baim berkata dia sedang berada dalam fasa berdamai dengan diri sendiri demi meraih kekuatan untuk berdepan dengan ujian itu.

“Doakan saja untuk segala kebaikan buat keluarga saya. Kekuatan saya adalah berdamai dengan diri sendiri dan saya tidak membenci sesiapa.

“Kalau sudah jujur dan terima seadanya, tidak ada yang perlu ditakutkan,” katanya ketika ditemui di Malam Gala filem arahan pertamanya, Lembayung, di sini, semalam.

Sebelum ini, kisah rumah tangga Baim mula menjadi sorotan hangat selepas isterinya, Paula dikhabarkan telah memfailkan perceraian terhadapnya pada 7 Oktober lalu.

Baim bagaimanapun mengakui dia masih berhubung dengan Paula seperti biasa malah sempat meluahkan rasa senang hati melihat penampilan isterinya menerusi filem arahannya itu.

“Saya dengan dia baik-baik saja. Dia yang minta saya untuk berlakon di filem ini. Saya masih berhubung dengan dia melalui Whatsapp,” katanya.

Dalam masa sama, Baim memberitahu dia enggan mengganggu fikirannya dengan membaca komen-komen mengenai perihal rumah tangganya di media sosial.

Tambah Baim, dia seorang yang sensitif meskipun tidak mudah mengambil hati dengan kata-kata yang dilemparkan terhadapnya.

“Ada yang perlu dibaca, ada yang tidak perlu. Saya seorang yang sensitif, kalau terbaca nanti saya akan terfikir. Lebih baik tidak.

“Cuma, saya tidak pernah menyalahkan orang dan tidak berdendam dengan mereka kerana itu akan berbalik semula pada diri kita,” jelasnya.

Ditanya sama ada harapan untuk berbaik dengan Paula, Baim hanya mampu bermohon doa daripada orang ramai.

“Jadi gosip nanti, doakan yang terbaik saja,” ujarnya ringkas.

Sekadar info, Baim dan Paula telah mendirikan rumah tangga pada November 2018 dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Kiano, 3, dan Kenzo, 2.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya