PETALING JAYA: Tidak pernah membina jurang di set penggambaran, pelakon, Syafie Naswip, akan selalu mengajak rakan sekerja melakukan latihan dan berbincang mengenai skrip sebagai persediaan.
Sudah 17 tahun bergelar anak seni, Syafie atau Muhammad Syafie Naswip, 32, memegang prinsip untuk berbuat baik 10 kali ganda kepada rakan pelakon yang memberikan komitmen terbaik di set penggambaran.
“Saya punya konsep bekerja dalam setiap karya ialah cuba untuk dekatkan diri dengan semua orang di set penggambaran.
“Sejak dahulu, saya sudah dididik bahawa tidak kisah tua atau muda, saya yang akan ajak mereka berlatih dan berbincang sebelum penggambaran dilakukan.
“Jika seseorang pelakon itu merendah diri, saya akan baik kepadanya 10 kali ganda. Kalau sombong, bongkak, lantaklah kau sana.
“Baru-baru ini saya menjalani penggambaran bersama penduduk Bario, Sarawak dan mereka sangat merendah diri, sentiasa mahu belajar,” katanya.
Syafie ditemui Utusan Malaysia di majlis tayangan dan malam gala filem Tegkang di Starling Mall, semalam.
Bagaimanapun, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-25 itu juga enggan membazirkan tenaga sekiranya berhadapan pelakon yang sukar memberikan bekerjasama.
“Limit saya tiga kali sahaja. Kalau saya sudah ajak seseorang pelakon itu untuk berlatih tapi sukar memberikan kerjasama, tidak mengapalah, buat sahaja kerja masing-masing.
“Kita profesional sahaja. Cuma saya tahu mahu letak batasan bagaimana,” jelasnya.
Bercerita lanjut mengenai watak Hanafi yang dibawanya dalam filem Tekang, Syafie mengakui teruja mempelajari budaya dan tradisi masyarakat Kelabit di Sarawak.
“Saya belajar banyak benda juga cuba pelbagai makanan tradisi mereka antaranya Buri. Ia sangat pahit, saya tidak diberitahu mengenai itu sampailah waktu penggambaran. Jadi apa saya tunjukkan di skrin adalah reaksi sebenar.
“Selain itu makanan lain yang saya cuba ialah sambal cili putih ikan bilis dan bunga kantan goreng,” katanya.
Filem Tegkang arahan Josh Nawan mengangkat kehidupan masyarakat Kelabit di Bario, Sarawak menerusi watak seorang pelancong, Hanafi. Dia kemudian jatuh hati dengan seorang gadis Kelabit bernama Rinai.
Tegkang akan mula menemui penonton pada 28 November ini. -UTUSAN