Kalau Mamat tidak jalani proses pemulihan, kami bawa tunai umrah sekali - Exists

Kalau Mamat tidak jalani proses pemulihan, kami bawa tunai umrah sekali – Exists

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bakal menunaikan umrah tahun hadapan, komposer dan pemain keyboard kumpulan Exists, Ajai bersama ahli lain tidak melupakan bekas vokalis, Mamat yang kini sedang dalam pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Ajai atau nama lengkapnya, Mohd Faizal Maas berkata, meskipun penyanyi Untukmu Ibu itu tidak dapat mengerjakan umrah bersama, dia ingin mengambil peluang untuk mendoakan kesejahteraan rakan seperjuangannya di Tanah Suci Makkah nanti.

“Kalau Mamat tidak menjalani proses pemulihan sekarang, memang kami akan ajak sekali. Tetapi, buat masa sekarang dia tidak boleh keluar ke mana-mana dalam tempoh dua tahun.

“Kami akan berdoa untuk segala-galanya. Selalu doa dekat sini, tapi bila ada rezeki mengerjakan umrah, kami berdoa di sana pula. Mana tahu, Allah dapat makbulkan dan gugurkan apa sahaja dosa kita semua,” katanya.

Dalam masa sama, Ajai turut meluahkan rasa lega melihat perkembangan positif Mamat yang dikatakan semakin sihat dan gembira menjalani proses pemulihan tersebut.

“Kami sudah lihat Mamat dalam media sosial dan dia nampak gembira. Ada juga saya tengok video Mamat buat aktiviti semasa proses pemulihan, mukanya nampak makin sihat.

“Jadi, kami yakin proses yang Mamat lalui sekarang adalah betul,” kata Ajai.

Pada 8 Julai lalu, Mahkamah Sesyen Johor Bahru telah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 dan dua tahun menjalani rawatan pemulihan di bawah pengawasan AADK Bentong terhadap Mamat atau nama penuhnya, Mohd Ali Kamarudin, 47, yang berdepan dengan dua pertuduhan mengambil dadah pada 2019.

Dalam pada itu, Ajai turut meluahkan rasa bersyukur bakal berangkat ke Tanah Suci Makkah buat pertama kali bersama rakan-rakannya menerusi program Umrah Langkah Seiringan Exists.

“Bila dapat tahu ada rezeki untuk mengerjakan umrah, saya gembira dan takut. Takut sebab saya ada niat untuk buat yang terbaik, dalam masa sama takut tidak tercapai.

“Jadi, saya mahu buat yang termampu. Banyak perkara yang perlu dijaga supaya amalan dilakukan diterima. Memang saya boleh bayar dam atau denda, tapi kalau kita tidak perasan beberapa perkara itu berlaku bagaimana?

“Contoh macam rambut gugur dan sebagainya. Perkara sebegitu membuatkan saya takut. Saya tidak boleh terleka dan kena mengingatkan antara satu sama lain,” jelasnya.

Selain Ajai, kumpulan yang turut dianggotai Ezad, Musa Radhi dan Ujang itu terpilih oleh syarikat Darmina Revolution untuk menunaikan umrah bersama peminat mereka pada 22 Januari hingga 2 Februari tahun depan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN