PONTIAN: Seorang kakak menuntut keadilan buat adiknya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah kereta yang tiada cukai jalan dan perlindungan insuran, di Persiaran Bayu, Gelang Patah pada 30 September lalu.
Nur Hasnizatula’ain Nordin, 34, berkata, impak kemalangan itu, adiknya Nur Hairul Nizam Nordin, 31, yang bertugas sebagai penghantar makanan, mengalami pendarahan di kepala, patah tangan kanan selain masalah pada paru-paru yang memerlukan bantuan alat pernafasan.
Namun apa yang dikesalkan olehnya ialah apabila beliau diberitahu Pegawai Penyiasat (IO) di Balai Polis Iskandar Puteri, pelaku yang melanggar adiknya itu, hanya dikenakan saman, manakala adiknya tidak boleh menuntut sebarang pampasan atau ganti rugi berikutan kereta yang terbabit kemalangan itu tiada mempunyai cukai jalan dan perlindungan insuran.
“Pelaku hanya kena saman atas kesalahan itu sedangkan adik saya hilang sumber pendapatan dan mengalami kecederaan yang teruk. Di manakah keadilannya sekiraya pelaku bebas memandu kenderaan tanpa rasa bersalah dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui di Kuarters Syarikat Perladangan Abadi Amanjaya, Jalan Kukup Laut, di sini.
Nur Hasnizatula’ain berkata, dalam kejadian itu, kereta melanggar adiknya tiba-tiba membelok masuk di hadapan menyebabkannya Nur Hairul terlanggar dibahagian belakang kereta itu.
Dakwanya, disebabkan kecuaian pihak orang lain, Nur Hairul terpaksa menerima rawatan kira-kira dua minggu di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Aminah ( HSA ) di Hospital Pontian.
“Berikutan kemalangan itu, leher adik saya ditebuk. Dia juga perlu minum susu melalui tiub ke hidung. Keadaan itu menyebabkan kami terpaksa menyedut kahak menggunakan peralatan khas setiap hari,” jelasnya.
Berikutan kekangan kerja sebagai kerani, Nur Hasnizatula’ain terpaksa menyerahkan tugas menjaga Nur Hairul kepada adiknya yang lain, Nur Dianatul A’ain, 24 tahun.
Nur Hairul kini hanya bergantung meminum susu formula khas pada harga RM99 satu tin yang hanya bertahan dua hari, manakala lampin pakai buang tiga keping sehari.
Mengenai perkembangan kesihatan Nur Hairul, Nur Hasnizatula’ain berkata, adiknya akan melakukan imbasan dibahagian kepala, perut dan leher bagi mengenal pasti sejauh mana kecederaan yang dialami di HSA Johor Bahru, bulan depan.
“Saya tidak pasti berapa lama proses penyembuhannya. Sama ada dia mampu berkerja semula atau terus hilang upaya disebakan kecederaan dialami ini,” katanya.
Nur Hasnizatula’ain berharap ada pihak yang sudi membantunya mengheret pelaku kemuka pengadilan supaya ia menjadi pengajaran kepada pemandu lain supaya tidak memandang ringan aspek keselamatan seperti cukai jalan dan perlindungan insuran.
Nur Hasnizatula’ain turut melahirkan kekesalan apabila pelaku bukan sahaja tidak menunjukkan rasa bersalah di atas kemalangan yang berlaku, sebaliknya langsung tidak melawat Nur Hairul semasa di hospital ataupun di rumah.
Orang ramai yang bersimpati dengan keluarga ini boleh menghubungi Nur Hasnizatula’ain Nordin di talian 017-7729762 atau ke Kuarters Abadi Aman Jaya, Jalan Kukup, Pontian. Sumbangan juga boleh hulurkan di akaun Public Bank (4510799406). – UTUSAN