Kaji semula kontrak IPP gagal tangani gangguan elektrik di Sabah

Kaji semula kontrak IPP gagal tangani gangguan elektrik di Sabah

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SE) perlu mengkaji semula kontrak Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) yang agak tinggi namun, kurang berkesan dalam menangani masalah gangguan bekalan elektrik di negeri ini.

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, biarpun kerajaan membelanjakan jutaan ringgit dalam mengekalkan kontrak IPP namun, masalah gangguan bekalan elektrik di Sabah masih belum ditangani dengan baik.

Beliau berkata, terdapat sekurang-kurangnya 31 IPP di Sabah, setengahnya menggunakan teknologi lama yang menyebabkan kerap berlaku gangguan.

“Kontrak IPP ini perlu dikaji semula kerana kos penyelenggaraan yang tinggi sehingga ia menyebabkan sumber kewangan tidak dapat digunakan sebaiknya bagi pelaksanaan strategi mampan jangka panjang untuk pengeluaran bekalan tenaga yang mencukupi.

“Maka, SE perlu mengorak langkah baharu yang menekankan ketelusan, pengurusan bertanggungjawab dan komitmen yang serius terhadap keperluan tenaga jangka panjang rakyat Sabah.

“Letakkan kebajikan awam sebagai keutamaan dan hentikan kitaran salah urus kewangan dalam SE yang membebankan negeri dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kebergantungan kepada IPP dan pelaburan dalam projek seperti Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) antara contoh yang lebih mengutamakan kepentingan korporat daripada keperluan rakyat Sabah.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, projek seperti BESS yang menelan kos sebanyak RM645 juta hanya berfungsi sebagai penyelesaian sementara, namun gagal menangani masalah dalam operasi Sabah Electricity.

Mengulas lanjut katanya, jika dilihat Tenaga Nasional Berhad (TNB) memiliki lebih 80 peratus kepentingan dalam SE manakala, kerajaan negeri memiliki kurang daripada 20 peratus.

Melihat kepada struktur pemilikan ini, TNB sebagai pemegang saham majoriti seharusnya menanggung liabiliti kewangan SE, lebih-lebih lagi kerana syarikat multinasional ini telah memperoleh keuntungan berbilion ringgit.

Dalam pada itu, Warisan mencadangkan untuk membina empangan mesra alam di Kinabatangan atau Segama sekiranya mereka membentuk kerajaan akan datang. Ini penting bagi menangani keperluan pengurusan air mampan dan penjanaan elektrik.

Dengan menggunakan reka bentuk berimpak rendah dan pengurusan takungan yang strategik, empangan ini akan memenuhi permintaan yang meningkat terhadap air dan elektrik tanpa menjejaskan ekosistem tempatan dan habitat hidupan liar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya