Kadar kelahiran rendah jejas struktur ekonomi negara

Kadar kelahiran rendah jejas struktur ekonomi negara

PENURUNAN kadar kelahiran di Malaysia dijangka menjejaskan struktur ekonomi negara serta kekuatan guna tenaga buruh tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penurunan kadar kelahiran di Malaysia dijangka menjejaskan struktur ekonomi negara serta kekuatan guna tenaga buruh tempatan khususnya melibatkan sektor-sektor kritikal seperti kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan.

BASHIR AHMAD SHABIR AHMAD

Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, tanpa langkah penyelesaian yang menyeluruh, ia boleh mencetuskan ketidakseimbangan antara pekerja tempatan dan pekerja asing serta merugikan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

Katanya, penurunan kadar kelahiran akan mengurangkan jumlah tenaga kerja tempatan sekali gus memaksa Malaysia bergantung kepada tenaga buruh asing untuk memenuhi keperluan sektor-sektor kritikal.

“Kadar kelahiran merupakan elemen penting dalam kesinambungan guna tenaga buruh domestik.

“Ketidakseimbangan ini boleh menjejaskan produktiviti negara jika pergantungan terhadap tenaga buruh asing melebihi tenaga tempatan. Situasi ini juga mengurangkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dalam sektor-sektor tertentu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan, Malaysia berdepan krisis tenaga buruh akibat penurunan kadar kelahiran yang ketara dalam tempoh lima dekad serta dijangka beralih kepada status negara tua lebih awal daripada jangkaan pada 2030.

Mengulas mengenai penggunaan tenaga buruh asing, Bashir menegaskan, imigrasi memainkan peranan penting untuk mengawal kemasukan pendatang tanpa izin.

Katanya, hal ini kerana pendatang tanpa izin bukan sahaja tidak menyumbang kepada pungutan cukai malah membawa keluar sejumlah besar wang ke negara asal mereka.

“Walaupun tenaga buruh asing diperlukan, kerajaan perlu memastikan hanya sektor tertentu yang kritikal mendapat manfaat daripada mereka.

Di samping itu, memilih negara sumber yang sesuai dengan keperluan ekonomi tempatan juga penting termasuk aspek budaya dan adat resam,” katanya.

Menurut Bashir lagi, kerajaan perlu meningkatkan umur persaraan kepada 65 tahun seperti yang dilaksanakan di negara maju lain supaya membolehkan pekerja berpengalaman terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

Selain itu, katanya, program latihan intensif dengan kerjasama pihak berkaitan juga perlu diperkenalkan bagi memastikan tenaga kerja tempatan lebih berdaya saing dalam memenuhi keperluan sektor kritikal.

“Kerajaan boleh menyediakan insentif atau geran untuk latihan selama enam bulan hingga setahun. Program ini dapat meningkatkan kemahiran pekerja tempatan sekali gus mengurangkan pergantungan kepada tenaga buruh asing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya