KOTA TINGGI: Seorang jurukimpal dan pengutip barang lusuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan melupuskan bahan bukti kes penculikan seorang ahli perniagaan, termasuk sepucuk pistol bulan lalu.
Tertuduh, Tan Kuan Wei, 43, dan Siow Boon Pin, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Nurkhalida Farhana Abu Bakar.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya didakwa bersama-sama melupuskan sepucuk pistol jenis Pietteo Beretta Gardone V.T buatan Itali, 250 butir peluru hidup dan sepasang gari beserta dua anak kunci bagi melindungi Chong Shih Ming, 46, yang disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 di Farm Vacay, Jalan Sungai Johor, di sini pukul 4.15 petang, 26 Oktober lalu.
Kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Kuan Wei dalam rayuan memohon wang jaminan dikurangkan kerana hanya berpendapatan RM2,000 sebulan, manakala Boon Pin mengakui tidak mempunyai tanggungan tetapi memohon wang jaminan dikurangkan.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan setiap seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis pada setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi.
Nurkhalida Farhana menetapkan 25 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN