Jumlah mangsa banjir di Terengganu kembali meningkat - Utusan Malaysia

Jumlah mangsa banjir di Terengganu kembali meningkat

SEBAHAGIAN daripada mangsa banjir yang berpindah di PPS SK Teluk Kalong, Kemaman. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Banjir gelombang pertama di Terengganu semakin buruk dengan jumlah mangsa terus meningkat kepada 398 orang daripada 84 keluarga setakat pukul 8 pagi ini.

Jumlah mangsa banjir yang berpindah menunjukkan pertambahan ketara berbanding hanya 59 orang daripada 15 keluarga pada pukul 4 petang semalam susulan pembukaan 14 lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) malam tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, ketika ini terdapat 17 PPS beroperasi di enam daerah.

“Daerah paling teruk terjejas ketika ini ialah Marang dengan 195 mangsa daripada 37 keluarga dipindahkan ke empat PPS.

“Di Hulu Terengganu pula, seramai 68 mangsa daripada 18 keluarga kini berada di lima PPS manakala di Dungun, 59 mangsa daripada 11 keluarga dipindahkan ke tiga PPS,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, Besut yang mula dilanda banjir lewat petang semalam pula merekodkan seramai 43 mangsa daripada sembilan keluarga yang kini berada di dua PPS.

Menurutnya, situasi banjir agak baik di Kemaman kerana mangsa berkurangan kepada 32 orang daripada lapan keluarga dan masih berada di dua PPS manakala di Setiu hanya seorang mangsa sahaja kini berlindung di Balai Raya Kampung Bintang.

“Cuaca masih hujan lebat dan sederhana di beberapa tempat dan orang ramai di kawasan berisiko dinasihatkan terus berjaga-jaga dan peka dengan arahan pihak berkuasa untuk berpindah ke PPS terdekat,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal
https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air pula melaporkan tiada sungai yang telah melepas paras bahaya setakat pukul 8 pagi ini.

Namun, dua sungai masih melepasi paras amaran iaitu Sungai Nerus di Setiu dan Sungai Marang di daerah Marang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya