KUALA TERENGGANU: Situasi banjir di Terengganu tidak banyak berubah dengan mangsa hanya berkurangan kepada 57 orang daripada 13 keluarga setakat pukul 4 petang ini berbanding 67 orang daripada 15 keluarga pagi tadi.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, hanya Marang, satu-satunya daerah yang masih terjejas banjir.
“Daripada jumlah itu, seramai 49 mangsa daripada 11 keluarga berada di SK Simpang Rawai manakala lapan mangsa daripada dua keluarga berada di Dewan Sivik Merchang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ada dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di Marang iaitu di Dewan Sivik Merchang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Rawai.
PPS terakhir beroperasi di Dungun di Balai Raya Alor Mak Bah, tutup secara rasmi tengah hari tadi dengan 10 mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Bagaimanapun penduduk di kawasan berisiko dinasihati sentiasa merujuk laporan Jabatan Meteorologi Malaysia bagi mengetahui perkembangan terkini cuaca dan membuat persiapan untuk berpindah bagi meminimakan kerugian sekiranya banjir berlaku.
Sementara itu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan tiada sungai melepas paras bahaya setakat pukul 3 petang ini. – UTUSAN