PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir di seluruh negara kini meningkat kepada 80,589 orang, setakat pukul 6 pagi tadi.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan berkata, jumlah itu membabitkan 24,647 keluarga di lapan buah negeri dengan 47 daerah terkesan akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Katanya, setakat ini 467 pusat penempatan sementara (PPS) dibuka serta empat kematian dicatatkan iaitu dua di Kelantan dan masing-masing satu di Terengganu serta Sarawak.
“Di Kelantan, seramai 56,029 mangsa banjir melibatkan 17,553 keluarga serta 207 PPS masih aktif di 10 daerah. Kawasan paling ramai terjejas iaitu di Pasir Mas dengan 20,693 mangsa.
“Ia diikuti dengan Terengganu membabitkan 20,754 mangsa serta 5,875 keluarga. Sebanyak 228 PPS dibuka membabitkan tujuh daerah.
“Trend di kedua-dua negeri terbabit dijangka akan terus meningkat,” katanya di sini hari ini.
Selain itu, menurut NADMA, jumlah mangsa banjir di Perak dan Perlis turut mencatatkan pertambahan, manakala situasi di Kedah dan Sarawak pula tidak berubah.
“Dua lagi negeri iaitu Selangor dan Negeri Sembilan kini terjejas melibatkan kawasan di Klang, Tampin dan Kuala Pilah,” katanya. – UTUSAN