PETALING JAYA: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan melakukan pemeriksaan terhadap kelab-kelab golf yang didapati menggajikan pekerja asing yang sekiranya terdapat laporan berkaitan isu terbabit.
JTK berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan berkaitan perkara terbabit.
Bagaimanapun, katanya, JKT telah melakukan sebanyak 493 operasi berkaitan pemburuhan di seluruh negara bagi sepanjang tahun ini sehingga Oktober lalu.
“Daripada operasi terbabit, sebanyak 502 majikan telah diambil tindakan manakala 198 kertas siasatan dibuka.
“Ia membabitkan pelbagai jenis kesalahan antaranya Akta Kerja, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara dan lain-lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambahnya, operasi tersebut dijalankan di pelbagai premis antaranya sektor perkilangan, pembuatan, perkhidmatan, restoran dan lain-lain.
“JKT akan terus melakukan operasi secara proaktif bagi mengesan pihak majikan yang melanggar undang-undang ditetapkan,” katanya.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, sebanyak RM2.8 juta mengalir keluar dari negara pada setiap bulan ekoran tindakan kelab-kelab golf mengambil dan mengutamakan 1,740 pekerja asing untuk berkhidmat sebagai kedi tanpa permit sah dengan menganaktirikan pekerja tempatan.
Lebih mengejutkan, mereka yang ditempatkan di kelab-kelab golf dipercayai menyalahi undang-undang negara ini apabila berkhidmat sebagai kedi tanpa permit pihak berkuasa.
Sumber industri mendedahkan, pihaknya amat kecewa dengan perkembangan itu selepas didapati 80 peratus daripada 159 kelab golf mengupah warga asing meskipun negara mempunyai kedi tempatan bertauliah di samping telah diberi latihan secukupnya. – UTUSAN