JSPT KL kutip RM1.878 juta bayaran saman dalam dua hari

JSPT KL kutip RM1.878 juta bayaran saman dalam dua hari

PENGARAH JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri beramah mesra dengan orang ramai yang hadir bagi Program Tawaran Semakan dan Bayaran Saman sehingga 50 peratus JSPTKL di Balai Polis Trafik Tun HS Lee hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur berjaya mengutip bayaran saman kira-kira RM1.878 juta daripada pesalah lalu lintas sempena tawaran diskaun 50 peratus dalam tempoh dua hari bermula kelmarin dan semalam.

Tawaran diskaun 50 peratus bermula Selasa lalu hingga Sabtu ini berlangsung di Balai Polis Trafik Tun H.S Lee.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, dalam tempoh dua hari ini, sebanyak 17,002 saman telah diselesaikan membabitkan keseluruhan kutipan RM1.878 juta.

Katanya, ia membabitkan bayaran saman melalui bayaran tunai iaitu RM270,850, e-bayaran (RM882,340), bayaran menggunakan kupon 50 peratus mencatat kutipan RM725,430.

“Pada hari pertama (Selasa), sebanyak RM841,390 bayaran saman berjaya dikutip untuk bayaran 7,677 saman manakala untuk semalam ( hari kedua), jumlah kutipan saman meningkat kepada RM1.37 juta membabitkan 9,325 saman.

“Dianggarkan seramai 3,100 orang awam hadir ke kaunter-kaunter saman yang disediakan di pejabat JSPT Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke pejabat JSPT Kuala Lumpur di Balai Polis Tun H S Lee di sini, untuk melihat sendiri pelaksanaan Program Tawaran Semakan dan Bayaran Saman Sehingga 50 Peratus pada hari ini.

Menurut Mohd. Yusri, tawaran diskaun berkenaan tidak termasuk bagi kes saman kemalangan, saman bicara mahkamah, kategori tidak boleh kompaun, memotong secara berbahaya, kesalahan menggunakan lorong kecemasan dan tidak mematuhi isyarat lampu merah.

“Kesalahan berkaitan kenderaan berat, pengubahsuaian ekzos, saman berstatus Op Selamat dan kesalahan memotong di garisan berkembar turut tidak termasuk dalam tawaran,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Yusri berkata, jumlah saman direkodkan JSPT Kuala Lumpur bagi sepanjang tahun ini sebanyak 881,221.

“Kesalahan tertinggi membabitkan halangan lalu lintas iaitu 97,806, abai isyarat lalu lintas (45,803) dan tiada lesen memandu (17,405),” katanya.

Menurutnya, bagi kemudahan orang ramai, pihak JSPT Kuala Lumpur 10 khemah serta membuka 15 kaunter semakan, pinda dan bayaran saman termasuk 14 mesin e-bayaran.

Selain itu, khemah turut menempatkan kaunter MyBayaran Saman, tiga kaunter untuk orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan ibu mengandung serta 350 kerusi menunggu.”Bayarlah saman tepat pada waktunya demi kelancaran urusan dan terhindar dari hukuman yang lebih berat. Jangan biarkan hutang bertambah.

“Kepatuhan kita membayar saman menunjukkan tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya. Disiplin ini membantu menciptakan lalulintas yang aman bagi semua,” katanya.

Tambahnya, menjelaskan saman tepat pada waktunya dapat menghindarkan orang ramai dikenakan denda tambahan atau dikenakan tindakan lebih tegas.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya