PETALING JAYA: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman akan melakukan siasatan terperinci sama ada enam individu termasuk seorang penyanyi wanita ditahan polis Thailand semalam terlibat dalam sindiket pil kuda atau sebaliknya.
Pengarah JSJN, Datuk Seri Khaw Kok Chin ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan penahanan enam rakyat Malaysia terdiri daripada tiga lelaki dan perempuan oleh polis Thailand di sebuah hotel di Golok, semalam.
Beliau berkata, pihanya bersama JSJN Kelantan sedang bekerjasama dengan polis negara jiran itu.
“Kita (JSJN) sedang menyiasat latar berlakang mereka sama ada terlibat dengan sindiket dadah pil kuda atau sebaliknya,” katanya di sini.
Terdahulu, penyanyi wanita yang popular dengan lagu-lagu negeri Kelantan ditahan polis Thailand dalam serbuan pada pukul 5 petang waktu tempatan.
Ketika ini penyanyi tersebut masih berada dalam tahanan polis untuk membantu siasatan.
Sebelum itu, tular melalui aplikasi WhatsApp seorang penyanyi wanita popular ditahan di Golok.
Kesemua mereka ditahan selepas selesai berhibur di sebuah pusat hiburan terletak di bahagian bawah hotel.
Hasil pemeriksaan oleh polis Thailand menemukani sebanyak 6,000 biji dadah dipercayai pil kuda.
Bagaimanapun, dua lagi suspek yang tidak dikenali berjaya melepaskan diri dalam serbuan itu. – UTUSAN