KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang merancang mewujudkan fungsi notifikasi pemakluman tarikh tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, fungsi ia diwujudkan bagi memberi peringatan supaya orang ramai tidak lupa untuk memperbaharui lesen.
Kata beliau, fungsi notifikasi itu adalah antara penambahbaikan yang sedang dilaksanakan oleh pihaknya seperti terkandung dalam agenda pendigitalan JPJ.
Justeru katanya, fungsi baharu itu akan dimaklumkan kepada orang ramai apabila ia siap dibangunkan dan sedia untuk digunakan kelak.
“Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui JPJ telah merancang untuk melaksanakan penambahbaikan aplikasi MyJPJ secara berfasa dari semasa ke semasa tertakluk kepada keutamaan penambahbaikan dan kos perbelanjaan yang diperuntukkan.
“Ini bagi meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan atas talian kepada orang ramai.
“Saya mengalu-alukan cadangan daripada Yang Berhormat (YB) Hulu Selangor untuk kita wujudkan fungsi notifikasi ini supaya orang ramai dapat memperbaharui LKM mereka,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) yang mahu kementerian menyatakan langkah bagi mengingatkan pemilik kenderaan agar tidak terlupa untuk memperbaharui LKM memandangkan sistem cukai jalan digital tidak memerlukan pelekat cukai jalan dipamerkan.
Mengulas lanjut, Loke tidak menafikan terdapat penjimatan dari segi pencetakan susulan usaha pendigitalan yang dilakukan JPJ.
Namun katanya, terdapat rungutan orang ramai kerana masih ada sebilangan dyang mahu menggunakan lesen dan cukai jalan fizikal.
Sehubungan itu, beliau mengumumkan pada awal tahun hadapan, pihaknya akan mengumumkan satu inisiatif kepada orang ramai yang ingin mencetak lesen dan cukai jalan mereka secara fizikal.
“Masih ada rungutan orang ramai iaitu sebilangannya yang masih ingin melihat atau mencetak lesen mereka atau cukai jalan mereka. Jadi, dari segi itu memang kita akan menambah baik awal tahun depan.
“Oleh itu, kita akan umumkan satu inisiatif kepada mana-mana pihak atau orang ramai yang ingin mencetak lesen mereka secara fizikal, mungkin mereka kena bayar untuk pencetakan berkenaan,” katanya.-UTUSAN