JPJ panggil semula Perodua Alza, Aruz, Honda CB350RS

JPJ panggil semula Perodua Alza, Aruz, Honda CB350RS, masalah komponen tidak ikut spesifikasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memanggil semula sejumlah 3,722 kenderaan model Perodua Alza, Aruz dan Honda CB350RS keluaran tahun 2024 kerana tidak mematuhi peraturan spesifikasi ditetapkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ia melibatkan sejumlah 2,518 model kenderaan Perodua Alza 1500 X (CVT), 1500 H (CVT) dan 1500 AV (CVT) berkaitan masalah ketinggian sasaran lampu utama tidak memenuhi peraturan spesifikasi.

Katanya. sebanyak 1,139 Perodua Aruz 1500 X dan 1500 AV juga mempunyai masalah yang sama.

Bagi 65 kenderaan model Honda CB350RS pula, kata beliau, ia berkaitan permasalahan pada sensor kelajuan roda menyebabkan sistem ABS, traction control dan meter had laju tidak tepat.

“Setiap pemilik kenderaan yang terlibat akan dihubungi pihak Perodua Manufacturing Sdn. Bhd. dan Boon Siew Honda Sdn. Bhd.

“Ia bagi proses penyelarasan slot pemeriksaan kenderaan masing-masing atau pemilik kenderaan turut dibenarkan secara walk-in ke mana-mana pusat servis yang berhampiran di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aedy Fadly berkata, mana-mana komponen yang terlibat dengan isu tersebut akan digantikan dengan kos yang ditanggung oleh pihak syarikat pengeluar kenderaan tersebut.

Oleh itu, katanya, semua pemilik kenderaan model yang terlibat dimohon membuat perancangan bagi membolehkan proses pemanggilan semula dan pemeriksaan kenderaan dapat dijalankan secepat mungkin.

“Maklumat lanjut berkenaan proses pemanggilan semula ini, pemilik kenderaan boleh kunjungi mana-mana pusat jualan/ perkhidmatan Perodua dan Boon Siew Honda yang berdekatan.

“Pihak JPJ akan memantau pelaksanaan proses pemanggilan semula ini dan komited memastikan kesemua unit kenderaan yang terlibat akan menjalani pemeriksaan dan disahkan selamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya