PUTRAJAYA: Peringatan kepada semua penunggang dan pemilik motosikal. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia akan melaksanakan Operasi Khas Motosikal Tahun 2024 selama dua bulan bermula hari ini di seluruh negara.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, penguatkuasaan sehingga hujung tahun ini bagi memastikan pematuhan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.
Tegasnya, pelaksanaan Ops Khas Motosikal ini adalah susulan statistik membimbangkan peningkatan trend kadar kemalangan dengan kematian secara bulanan direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan motosikal adalah sebanyak 1,908 atau 70 peratus.
“Bagi menyasarkan pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh sukuan ke-tiga dan ke-empat tahun ini, strategi penguatkuasaan secara berfokus seperti ini dilaksanakan.
“Ini untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang dan pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan-peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aedy Fadly berkata, lapan kesalahan utama yang difokuskan pihaknya melibatkan kesalahan tiada lesen memandu, tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan melanggar isyarat lalu lintas (lampu merah).
Selain itu katanya, membabitkan mengubahsuai kenderaan (extreme), tidak memakai topi keledar, lumba haram dan kesalahan lain (teknikal).
Pihaknya menyeru kerjasama pengguna jalan raya terutama penunggang dan pembonceng motosikal sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan dan bertoleransi bersama pengguna jalan raya lain demi keselamatan. – UTUSAN