Jongkong emas pertama dari lombong Sokor, Tanah Merah

Jongkong emas pertama dari lombong Sokor, Tanah Merah

TAN Ken Sim (tengah) bersama jemputan diberikan penerangan mengenai operasi perlombongan emas oleh Pengurus Lombong Emas NICE, Mohd. Faris Ishak (kiri) di Sokor, Kusial, Tanah Merah, Kelantan, semalam. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Niche Capital Emas Holdings Berhad (Nice)  berjaya menghasilkan jongkong emas pertama dari loji pemprosesan emas miliknya di lombong emas Sokor utara di Kusial di sini.

Ketua Pegawai Operasinya, Ir. Tan Ken Sim berkata, syarikat perlombongan itu lega apabila melihat jongkong emas pertama itu kerana sekurang-kurangnya ia membuktikan emas memang boleh dihasilkan di tapak konsesi perlombongan emas milik syarikat itu.

Menurut beliau, penghasilan jongkong emas itu adalah  detik penting bagi kembara panjang Nice dalam sektor penerokaan dan perlombongan logam berharga di Malaysia.

“Apabila nampak jongkong emas pertama tadi saya sangat ega. Ia adalah hasil titik peluh kami selama tiga tahun ini dan menjadi bukti bahawa kita memang boleh menghasilkan emas di loji pemprosesan Sokor.

“Bagaimanapun masih banyak yang perlu kami lakukan di sini termasuk memikirkan bagaimana mahu menghasilkan lebih banyak emas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa lawatan ke Loji Pemprosesan Emas Sokor Utara, Kusial, di sini kelmarin.

Ken Sim berkata, Nice memulakan operasi perlombongan emasnya pada tahun 2021 di atas tanah berkeluasan 1,831 hektar milik Kerajaan Kelantan di kawasan Hutan Simpan Kekal Sokor Taku di Daerah Ulu Kusial

Katanya, kawasan yang merangkumi Sokor Utara seluas 547 hektar, Sokor Tengah (373 hektar) dan Sokor Selatan (910 hektar) itu diberikan secara pajakan selama 12 tahun.

“Kami mendapat kelulusan penuh untuk menjalankan perlombongan emas pada April lalu. Bagaimanapun bermula tahun 2021 sehingga kini syarikat telah melabur sekitar RM50 juta untuk kerja-kerja eksplorasi dan pembinaan loji pemprosesan emas.

“Dengan kejayaan menghasilkan jongkong emas pertama hari ini (kelmarin) kami akan mula memasuki peringkat pengoptimuman operasi dengan harapan semuanya berjalan lancar dan memberikan hasil positif buat kami,” ujarnya.

Ken Sim berkata, Nice turut mengunjurkan untuk mengoperasikan dua lagi loji, iaitu di kawasan tengah dan selatan pada tahun hadapan, namun ia turut bergantung kepada beberapa faktor termasuk eksplorasi dan pematuhan peraturan.

“Buat masa ini, kami belum dapat menetapkan sasaran penghasilan emas setahun tetapi berdasarkan reka bentuk loji, ia mampu memproses 30 hingga 40 tan tanah bagi mendapatkan sekitar enam hingga 12 kilogram (kg) emas sebulan.

“Gred emas yang dihasilkan pula adalah bergantung kepada nisbah pemulihan dan tahap kecekapan kerja. Selain itu, berpandukan keberadaan syarikat berjiran yang sudah sedekad bertapak di sini, kami jangka hayat sektor perlombongan emas di Sokor dapat bertahan lama,” katanya.

Tambahnya, Nice hanya berperanan melombong dan menjual emas dihasilkan kepada saluran yang betul dan terpulang kepada pihak berkenaan untuk memasarkan komoditi itu secara komersial di pasaran global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN