PUTRAJAYA: Ia adalah keputusan Kerajaan Negeri Johor dan tidak timbul sebarang isu mengenainya.
Itu komen ringkas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengenai ketetapan dibuat Johor yang mewajibkan pelanggan dan pemilik premis perniagaan lelaki beragama Islam meninggalkan urusan perniagaan atau menutup sementara premis ketika solat Jumaat.
Menurutnya, terpulang kepada kerajaan negeri itu untuk melaksanakan ketetapan itu.
“Itu adalah keputusan kerajaan negeri dan sekiranya itulah yang ingin dilaksana maka, terpulang kepada kepada mereka.
“Saya rasa tak jadi isu dan kita harap dapat membantu negeri Johor,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Forum Kisah Kejayaan Idea Malaysia di Festival Idea Putrajaya di sini, hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid dilaporkan berkata, ketetapan itu dibuat bagi membolehkan umat Islam menjalankan tanggungjawab menunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan.
Katanya, kelonggaran diberikan kepada pelanggan, pemilik atau pekerja wanita Islam untuk terus menjalankan urusan perniagaan di premis masing-masing.
Pada 7 Oktober lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, penyelarasan semula cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025 di Johor mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ). – UTUSAN