JOHOR BAHRU: Johor bakal menjadi negeri perintis yang menawarkan gaji premium kepada pekerja berkemahiran tinggi bermula RM4,000 dan RM5,000.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu mampu dicapai menerusi penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang dilancarkan secara rasmi hari ini dan bakal bertindak sebagai hab sehenti yang menghubungkan institusi Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri dan pencari kerja.
Jelasnya, JTDC adalah pemangkin ke arah penyelarasan program latihan supaya mengikut keperluan industri, sekali gus memastikan graduan TVET mendapat peluang pekerjaan berkualiti dan mempromosikan pembangunan kemahiran berteknologi tinggi.
“Penubuhan JTDC itu amat penting dalam memastikan tenaga kerja berkemahiran tinggi dapat dibekalkan susulan penawaran sebanyak 100,000 pekerjaan berkemahiran tinggi yang bakal wujud di negeri ini.
“Apa yang dilakukan Johor ini adalah untuk menetapkan gaji premium bagi diploma bermula dengan RM4,000, manakala gaji premium ijazah sarjana muda bermula RM5,000. Setakat ini hanya Johor yang berada di hadapan,” katanya semasa melancarkan penubuhan JTDC dan Karnival Kerjaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, langkah itu bertujuan memastikan graduan TVET mendapat imbuhan setimpal dengan kemahiran mereka bersandarkan penanda aras gaji negara jiran.
“Usaha ini adalah bagi memastikan tenaga kerja mahir tempatan berdaya saing, khususnya dari segi gaji, berbanding dengan negara-negara jiran,” katanya sambil memaklumkan sebanyak 100,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi sedang disediakan susulan kewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) tidak lama lagi.
Katanya, JS-SEZ pada waktu ini memerlukan seramai 74,000 pekerja berkemahiran tinggi, namun hanya 52,000 individu yang mengisi kekosongan tersebut setakat ini.
“Oleh itu, JTDC ini menjadi sokongan utama dalam melahirkan lebih ramai tenaga kerja kemahiran tinggi yang diperlukan pasaran terutamanya lepasan TVET. Kita ada 1,345 institusi TVET di seluruh negara dan di Johor sahaja ada lebih 220 institusi TVET bagi memenuhi permintaan 100,000 peluang pekerjaan di Johor,” katanya.
Beliau turut mengarahkan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) supaya menyalurkan peruntukan RM20 juta kepada institusi TVET di negeri ini bagi memastikan Johor dapat membekalkan keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan, sekali gus memastikan pembangunan ekonomi negeri dan negara terus mampan,” katanya.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan sedang memperhalusi 10 sektor utama ditawarkan bawah inisiatif JS-SEZ yang menawarkan gaji premium, antaranya melibatkan ekonomi digital, tenaga, perkhidmatan perniagaan, pelancongan kesihatan dan keterjaminan makanan. – UTUSAN