Johor peruntuk RM2 juta naik taraf tiga Klinik Kesihatan uzur

Johor peruntuk RM2 juta naik taraf tiga Klinik Kesihatan uzur

ONN Hafiz Ghazi mengadakan lawatan mengejut ke KK Gelang Patah, bulan lalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta bagi menaik taraf tiga buah Klinik Kesihatan (KK) yang uzur dan menaik taraf peralatan keperluan di klinik tersebut.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukkan yang itu disalurkan untuk  Klinik Kesihatan (KK) Gelang Patah, KK Majidee dan KK Tebrau.

Beliau berkata, peruntukan jangka pendek itu bagi menggantikan peralatan seperti mesin ultrasound, pendingin hawa, kerusi di ruang menunggu, kipas dinding, komputer dan mesin pencetak, ambulan serta meja dan kerusi untuk doktor dan jururawat.

“Susulan lawatan saya ke Klinik Kesihatan (KK) Gelang Patah, saya telah mengadakan perjumpaan bagi membincangkan isu klinik kesihatan yang daif, uzur, dan sesak di Johor iaitu KK Gelang Patah, KK Majidee, KK Tebrau dan KK Kulai.

“Dalam perjumpaan ini, kami membincangkan pelbagai isu dan mencadangkan penyelesaian secara berfasa untuk menangani masalah tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Onn Hafiz yang mengadakan lawatan mengejut di KK Gelang Patah melahirkan rasa kecewa dan sedih dengan keadaan KK tersebut yang disifatkan sangat daif.

Dalam lawatan itu, beliau turut berkongsi keadaan ruang menunggu yang sesak dan sempit, selain keadaan fasiliti seperti kerusi, kipas dan pendingin hawa yang usang serta rosak.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, bagi penyelesaian jangka sederhana, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi pemindahan perkhidmatan Klinik Ibu dan Anak KK Gelang Patah ke premis lain untuk menampung keperluan dan kepadatan penduduk di kawasan tersebut.

Tambahnya, sebanyak RM1 juta juga diperuntukkan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) untuk kemudahan tempat letak kereta orang awam di KK Gelang Patah.

Katanya, langkah penyelesaian jangka masa panjang pula melibatkan pembinaan KK Gelang Patah, KK Majidee dan KK Kulai baharu setelah terdapat tapak tanah yang telah dikenalpasti. 

“Kerajaan negeri yakin dengan bantuan dan sokongan Kerajaan Persekutuan, isu klinik daif dan uzur ini dapat diselesaikan. 

“Semoga segala usaha dalam menambahbaik fasiliti kesihatan yang dilaksanakan ini dapat diterjemahkan demi keselesaan Bangsa Johor, sekali gus memberi impak positif dari segi kualiti kehidupan seharian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya