BATU PAHAT: Jabatan Mufti Negeri Johor menetapkan ajaran, pegangan dan fahaman pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) sebagai haram, seleras dengan ketetapan diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.
Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, keputusan pengharaman ajaran GISBH itu telah dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim serta sudah diperkenankan, namun masih menunggu pewartaannya.
“Fahaman ini dibawa ke dalam Jawatankuasa Fatwa Johor dan hasil daripada muzakarah itu dan telah disemak maklum kepada DYMM Tuanku bahawa ajaran ini menyeleweng dan perlu diberikan penerangan kepada masyarakat supaya tidak terlibat.
“Keputusan serupa juga ditetapkan kepada ajaran Qadiani yang telah difatwakan haram pada awal tahun 60-an, namun ada cubaan untuk menghidupkan semula ajaran itu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Seminar Pendidikan Fatwa Negeri Johor di Dewan Kuliah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini hari ini.
Johor menjadi negeri ke tujuh memutuskan pegangan dan fahaman dibawakan GISBH bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam, sebelum ini Perlis, Selangor, Pahang, Sabah dan Melaka antara mengisytiharkan aktiviti kumpulan itu bertentangan ajaran Islam.
Yahya Ahmad berkata, kerajaan negeri akan memastikan kedua-dua fahaman itu yang merupakan ajaran sesat perlu dibanteras daripada terus berkembang.
Katanya, antara ajaran Qadiani yang diasaskan oleh Mirza Ghoulam Ahmad dari India adalah menyeleweng dan bercanggah dengan ajar dan syariah Islam.
“Ditetapkan melalui fatwa terhadap ajaran Qadiani adalah mana-mana orang Islam dalam negeri Johor yang mempercayai atau mengikuti atau terlibat dengan fahaman atau ajaran ini boleh menyebabkan terkeluar daripada ajaran Islam.
“Mereka terbabit dengan fahaman ini akan ambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang,” katanya. – UTUSAN