Johor bangunkan Zon Keterjaminan Makanan di Segamat

Johor bangunkan Zon Keterjaminan Makanan di Segamat

ZAHARI Sarip (dua dari kiri) menyampaikan replika cek berjumlah RM20,000 sumbangan SME Bank kepada 14 buah sekolah pada Majlis Pelancaran Santuni Madani di Kampung Pasir, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan membangunkan Zon Keterjaminan Makanan bagi memastikan bekalan makanan, terutamanya hasil pertanian dan ternakan di negeri ini mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, zon itu akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan antara 800 hingga 1,200 hektar.

“Kita sedang merangka program Zon Keterjaminan Makanan di Segamat. Kawasan yang dikenal pasti tidak terlibat dengan banjir, kita juga telah kenal pasti usahawan yang berpotensi menjalankan pertanian dan penternakan.

“Kita akan perincikan tanaman yang sesuai termasuk sayur-sayuran, lada hitam, nanas, ternakan ayam dan lain-lain. Saya harap perkara ini akan diumumkan dalam Belanjawan Johor 2025 pada 21 November ini,” katanya selepas Majlis Pelancaran Santuni Madani di Dewan Hassan Abdullah, Kampung Pasir, di sini hari ini yang turut dihadiri Pemangku Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim dan Ketua Kampung Pasir, Zaini Sinong.

Pada masa sama, Zahari memaklumkan, pihaknya tidak menerima sebarang aduan tentang kekurangan bekalan pertanian dan hasil ternakan di negeri ini menjelang peralihan Monsun Timur Laut.

“Setakat ini kami tidak dapat apa-apa laporan berkenaan kekurangan atau kemusnahan hasil pertanian, namun begitu agensi-agensi terlibat telah diminta untuk bersedia berdepan monsun, kita harap ia tidak seburuk sebelum ini,” jelasnya.

Beliau turut berterima kasih kepada SME Bank kerana  memilih Kampung Pasir di negeri ini sebagai kampung angkat.

Sementara itu, Mohammad Hardee memberitahu, pihaknya akan memastikan semua inisiatif menerusi program Santuni Madani akan memberi manfaat jangka masa panjang kepada penduduk setempat.

“Kita tidak hanya mahu menyediakan pinjaman dan pembiayaan, tetapi lebih daripada itu termasuk program tanggungjawab sosial korporat dan keusahawanan. Kita akan bantu apa yang diperlukan,” katanya.

Pada majlis itu SME Bank menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada 14 buah sekolah sebagai persediaan untuk pembukaan sesi persekolahan akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya