KUALA LUMPUR : Pelawak dan pelakon, Joey Daud meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir pihak dalam industri seni hiburan yang lebih mengutamakan pengikut di media sosial berbanding bakat anak seni.
Perkara itu didedahkan Joey atau nama sebenarnya, Zulkifli Daud, menerusi program podcast Bocey Comeback baru-baru ini.
Menurut Joey, dia pernah menerima tawaran untuk sebuah program namun kerana tidak mempunyai jumlah pengikut yang ramai di media sosial, tawaran tersebut terlepas daripada tangannya.
“Pengalaman itu masih saya ingat sampai sekarang sehinggakan saya katakan pada anak dan isteri, mungkin masa saya sudah sampai. Saya terfikir nak tinggalkan industri seni.
“Saya kongsikan di sini, adalah satu projek ini yang pernah nak ditawarkan kepada saya. Tetapi nampaknya ia lebih mementingkan jumlah pengikut di media sosial berbanding bakat sedangkan sudah sama-sama bermesyuarat hampir dua minggu.
“Bila tengok saya punya jumlah pengikut, kita tahulah kita siapa. Tak semua orang suka kita, pengikut pun tak ramai. Jadi pihak terbabit kata tak boleh sebab Joey ‘followers’ tak ramai,”katanya.
Berikutan itu, kata Joey, hatinya mula terdetik untuk meninggalkan dunia seni meskipun rasa cintanya sentiasa ada dalam bidang kerjaya ini.
“Saya cakap dengan anak dan isteri, macam mana nak betulkan benda ini? Saya sayang industri seni tetapi pada masa yang sama saya risaukan legasi dengan anak-anak kita, berbakat tapi tak ada followers jadi susah.
“Adakah kalau saya tinggalkan industri ini, adakah boleh membantu? Mereka kata mahu membantu orang berbakat tapi jawapannya saya tak terima. Jadi bagaimana? Jawapannya hanya berdoa sahaja,”katanya.
Disebabkan itu juga, kata Joey, dia tidak meletakkan had fokus pada satu cabang seni sahaja demi meneruskan kelangsungan hidup.
“Saya masih memikirkan sama ada akan tinggalkan industri atau pun tidak. Sebab itu saya cuba buat banyak cabang.
“Saya mula melukis, mula berfesyen supaya tidak memikirkan benda yang saya suka iaitu melawak, menghiburkan orang.
“Itu cara saya terapikan diri sebenarnya, kalau ikutkan saya ini ‘koyak’. Saya tak nak orang lain terkena macam saya yang mana orang lebihkan followers daripada bakat,”ujarnya.