IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak memantau sebuah restoran nasi kandar popular di bandar ini susulan video pekerjanya membasuh peralatan memasak di atas jalan bersebelahan longkang di belakang premis perniagaan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A. Sivanesan berkata, pihaknya meminta Jabatan Kesihatan memantau restoran itu selama sebulan.
“Jabatan Kesihatan telah pun melakukan pemantauan pada malam selepas hari kejadian namun tiada sebarang aktiviti mencuci peralatan memasak di jalan bersebelahan longkang di belakang premis restoran itu,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Menurutnya, selain itu, berdasarkan aduan yang diterima, penduduk sekitar kurang senang dengan premis tersebut akibat bunyi bising kerana kerja-kerja mengemas sehingga pukul 2 pagi.
“Jabatan Kesihatan juga akan turun padang mengambil kenyataan daripada penghuni-penghuni di sekitar premis berkenaan mengenai aduan ini,” katanya.
Terdahulu, tular video memaparkan seorang pekerja sebuah restoran nasi kandar popular di bandar ini membasuh peralatan memasak di atas jalan bersebelahan longkang di belakang premis.
Ini mencetuskan kemarahan orang ramai yang bimbang terhadap tahap kebersihan makanan dan mendesak tindakan tegas diambil pihak berkuasa. – UTUSAN