KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang merampas lebih 2.5 juta batang rokok putih yang dianggarkan bernilai lebih RM206,000 disyaki rokok seludup dalam dua serbuan.
Pengarah JKDM, Mohd Asri Seman berkata, rampasan pertama dilakukan pada 22 Oktober lalu di Muadzam Shah, Rompin, manakala serbuan kedua pula adalah pada 3 November lalu di Alor Gajah, Melaka.
Katanya, dalam serbuan pertama, sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan JKDM Stesen Kuantan telah berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok membabitkan sebuah motolori berhampiran Batu 93, Lebuh Persiaran Tun Khalil Yaakob, Lebuh Raya Kuantan Segamat, Muadzam Shah, Rompin.
“Serbuan dilakukan pada pukul 6.50 pagi di mana motolori berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Pantai Timur ke selatan tanah air.
“Hasil pemeriksaan, pasukan menemui sejumlah kotak berwarna coklat yang mengandungi rokok disyaki barang larangan berjumlah 1,680,000 batang rokok putih dianggarkan bernilai RM134,400.
“Rampasan rokok berkenaan melibatkan cukai dianggarkan berjumlah RM1,122,240 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,306,640. Pemandu lori berkenaan bagaimanapun berjaya melarikan diri,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Wisma Kastam Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Tambahnya lagi, bagi serbuan kedua pula, ianya telah dilakukan di sebuah gudang dia tingkat di Pusat Perindustrian Alor Gajah, Melaka sekitar jan 4.15 petang.
“Hasil pemeriksaan ke dalam gudang berkenaan, pasukan telah menemui rokok putih berjumlah 897,800 batang yang melibatjan cukai dianggarkan berjumlah RM599,730.40,” ujarnya.
Mohd Asri juga berkata, secara keseluruhannya jumlah rampasan bagi kedua-dia serbuan berkenaan dianggarkan bernilai RM206,244 dengan melibatkan cukai berjumlah RM1,721,979.40.
“Kedua-dua sindiket dipercayai mendapatkan bekalan dari negara jiran menggunakan laluan laut dan darat untuk diedarkan di kawasan Selatan tanah air seperti Melaka dan Negeri Sembilan.
“Bagaimanapun, tidak ada tangkapan yang dibuat dan kes masih dalam siasatan,” katanya.– UTUSAN