Jerantut bina pusat latihan muay thai

Jerantut bina pusat latihan muay thai

FADZLI Mohamad Kamal (tengah) menyampaikan ucapan penutup kejohanan Muay Thai Antarabangsa Jengka 2024 di Bandar Tun Abdul Razak Jengka, malam semalam. – UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Sebuah pusat latihan muay thai berpusat berharga RM150,000 yang bakal diwujudkan di Jerantut berpotensi menjadi medan pengembangan dan melatih bakat baharu dalam sukan bela diri yang kini menjadi fenomena di negeri ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, orang muda minat mempelajari cabang seni mempertahankan diri ini yang menggunakan kepantasan anggota badan menjatuhkan lawan dalam pertarungan.

Katanya, kejohanan Muay Thai Antarabangsa Jengka 2024 yang dihadiri lebih 15,000 pengunjung menjadi indikator tumpuan terhadap usaha mempo­pularkan sukan lasak di negeri ini.

Beliau berkata, kejohanan empat hari anjuran Triple 9 Event Management Resources itu menyaksikan 18 petinju dari sembilan kelab tempatan dan luar negara seperti Thailand, Ukraine, Afghanistan dan Yaman mempamer kejaguhan masing-masing memanfaatkan kepantasan kaki, tangan, siku dan lutut dalam mencari sasaran.

“Kejohanan muay thai atau tomoi di beberapa daerah di Pahang sebelum ini juga mendapat sokongan dan menarik minat pelbagai golongan terhadap sukan ini yang dilihat serasi dengan jiwa orang muda untuk pertahanan diri.

“Kerajaan negeri menubuhkan pusat latihan muay thai bagi menggalakkan lebih ramai anak muda di negeri ini menyertai sukan terbabit sekali gus menjadi pelapis atlet untuk kejohanan sukan seperti Sukan Malaysia (Sukma).

“Jadi, saya gesa anak-anak muda yang kental jiwanya untuk bersama-sama dalam sukan ini kerana terbukti kejohanan sukan Muay Thai ini menyatupadukan rakyat Pahang dan juga di Malaysia,” katanya selepas majlis penutup Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Jengka 2024 di Stadium Tun Abdul Razak Jengka malam semalam.

Menurut Fadzli lagi, sukan Muay Thai juga mampu menggalakkan rakyat menjalankan aktiviti sihat dan bersukan sekaligus membentuk ketahanan dan jati diri khususnya dalam kalangan anak muda.

Menurutnya, Pahang juga di­lihat dapat melahirkan atlet yang cukup berbakat daripada sukan ini dan pihak MSP akan bekerjasama dengan Pusat Pendidikan Daerah (PPD) bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya