Jenazah dua beradik tragedi tanah runtuh selamat dikebumikan

Jenazah dua beradik tragedi tanah runtuh selamat dikebumikan

UZAIR Azman (dua, kanan) dan Abdul Raziq (dua dari kiri) kelihatan sugul setelah selesai pengebumian Puteri Sajidah Azman dan Siti Fatimah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panggung, Ajil, Hulu Terengganu , hari ini. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Jenazah dua beradik yang maut dalam tragedi tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil, petang semalam selamat  dikebumikan pukul 1 tengah hari tadi.

Puteri Sajidah Azman, 16, dan adiknya, Siti Fatimah Azman, 13, disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panggung, Ajil, dekat sini.

Terdahulu, dua van yang membawa jenazah tiba di Masjid Kampung Bukit Apit kira-kira pukul 10 pagi, disusuli solat jenazah.

Suasana hiba dan pilu mengiringi pengebumian yang dihadiri lebih 200 ahli keluarga dan kenalan mangsa bagi memberi penghormatan terakhir kepada dua beradik berkenaan.

Ibu mangsa, Ruziah Fuad, 46, yang sedih dengan kehilangan dua anak perempuan sekali gus terpaksa diangkat menuju ke kenderaan setelah pengsan selepas pengebumian selesai dijalankan.

Abang mangsa yang cedera dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Uzair Azman,17, turut mengiringi pengebumian kedua-dua adik perempuannya setelah dibenarkan pulang pukul 11 malam semalam.

Seorang lagi abang mangsa, Abdul Raziq Azman,18, yang turut berada di dalam rumah ketika kejadian, namun sempat selamatkan diri juga kelihatan hiba dan sedih dengan pemergian dua adik perempuannya.

Semalam, dilaporkan dua beradik maut dan seorang cedera setelah tertimbus di dalam rumah mereka dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil, kira-kira pukul 4.30 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya