KUALA LUMPUR: “Kami telah berpisah.”
Demikian perkongsian isteri kepada Jay Iswazir, Azzahra Ahmad yang mengumumkan status terkini rumah tangganya dengan pelakon itu.
Azzahra menerusi Instagram memaklumkan dia dan Jay memilih untuk membawa haluan masing-masing selepas tiga tahun melayari bahtera perkahwinan.
“Bismillahirohmanirrohim… Dengan ini saya dengan rendah hati ingin memberitahu bahawa hubungan saya bersama Ahmad Iswazir Ismail telah terlerai. Kami telah berpisah.
“Semoga dalam tempoh masih edah ini, saya harap awak mampu menunaikan tanggungjawab dan tolong ‘dont take me for granted’ lagi,” tulisnya di Instagram.
Azzahra dalam masa yang sama meminta orang ramai mendoakan kebaikan buat dia dan bekas suaminya itu.
“Maaf atas kekurangan saya… halalkan makan minum saya. Mohon doakan yang baik-baik untuk kami berdua meneruskan hidup masing-masing selepas ini,” katanya.
Sebelum ini, Jay Iswazir dan isteri mendirikan rumah tangga pada Mac 2022.