SHAH ALAM: Pelakon, Janna Nick meluahkan rasa kecewa terhadap komen biadab seorang netizen yang membuat telahan kononnya suami aktres tersebut, Dini Schatzmann, memiliki lebihan hormon perempuan justeru sukar mendapatkan cahaya mata.
Terkesan dengan komen negatif tersebut, Janna yang berkongsi luahan menerusi sebuah hantaran di Instagram, menyifatkan kata-kata yang dilayangkan pengguna media sosial itu sebagai tindakan yang biadab dan tidak berasas.
“Pagi ini saya sangat terkesan dengan satu komen (media sosial). Biasanya saya tak kisah sangat apabila orang tanya bila nak ada anak. Tapi, saya sangat terasa dengan komen yang satu ini.
“Sangat kurang ajar. Kami sudah buat macam-macam, kami lakukan yang sehabis baik, berusaha keras untuk dapatkan anak.
“Bila orang tanya bila saya nak dapat anak, saya sendiri tertanya-tanya bila Allah akan kurniakan kepada saya anak. Orang tanya, saya nak jawab apa?,” katanya sebak.
Baru-baru ini, seorang pengguna media sosial mencuri perhatian apabila menulis komen negatif mengenai keadaan Janna yang sampai ke hari ini belum dikurniakan cahaya mata.
“Dini ini mesti terlebih hormon perempuan sebab itu susah dapat anak,” tulis individu berkenaan.
Berkongsi lanjut, Janna juga mendedahkan dia dan suaminya telah melakukan pelbagai cara, termasuk kaedah persenyawaan invitro (IVF) untuk mendapatkan cahaya mata.
Usaha tersebut bagaimanapun belum membuahkan hasil untuk pasangan berkenaan memiliki anak.
“Sekarang, cukup satu tahun saya lakukan IVF, dan saya gagal. Saya juga sudah macam-macam (cara), juga ujian paras hormon anti mullerian (AMH), Histerosalpingogram (HSG) dan kesihatan sperma suami.
“Kami berdua okey, tiada saluran yang tersumbat. Cuma ketika saya melakukan IVF pada tahun lepas, keadaan telur dalam rahim saya teruk, yang sihat hanya lima sahaja. Untuk umur saya, kiraan itu adalah sangat teruk,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, pengacara itu juga mengambil pendekatan untuk mengurangkan beban kerja, menolak banyak tawaran (lakonan) yang melibatkan tempoh penggambaran yang panjang dan mengubah cara hidup sebagai iktihar untuk bergelar ibu.
“Ada juga yang nasihatkan agar kami tidak stress dengan keadaan ini, tergesa-gesa mahu dapatkan cahaya mata.
“Saya tidak stress, kerana saya sudah lakukan IVF, justeru saya tahu keadaan kesihatan saya, tahap kesihatan hormon saya, telur dalam rahim saya macam mana, uterus saya yang keadaannya terbalik.
“Sebab itu kami berusaha keras (dapatkan anak). Saya kurangkan kerja, elak ambil tawaran berlakon yang penggambarannya terlalu lama, ubah gaya hidup, cara pemakanan dan sebagainya.
“Jadi yang asyik bertanya tentang anak ini mereka tahu atau tidak, kami sebenarnya mencuba (untuk dapatkan anak). Jadi tolonglah, hentikan bertanya tentang anak,” kongsinya.
Sementara, disebabkan terdesak untuk menimang cahaya mata, Janna atau nama penuhnya, Nur Jannah Muner turut melakukan petua yang dikongsikan orang sekeliling semata-mata untuk mendapatkan anak.
“Orang kongsi petua, minta wanita hamil pijak ibu jari kaki, jadi saya minta Nabila Razali pijak kaki saya sebab saya terdesak untuk dapatkan anak.
“Jadi, anda semua mahu apa? Hentikan pertanyaan (pasal anak),” pintanya.
Janna dengan sekali lafaz, sah bergelar isteri kepada Dini pada Jun tahun lepas.