IPOH: Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands yang ditutup sejak hampir sebulan lalu berikutan kejadian tanah runtuh di KM43.4 akan dibuka semula seperti yang dijadualkan pada 25 November ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, begitupun laluan itu hanya akan dibuka kepada semua kenderaan pada pukul 7 malam hingga 7 pagi.
Menurutnya, laluan itu hanya dibuka pada waktu malam bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan pembaikan dijalankan pada waktu siang.
“Tarikh 25 November adalah cadangan laluan ini dibuka. Kita pentingkan keselamatan, kalaulah ada apa-apa yang berlaku, kita tak boleh buka dan mungkin tidak dibuka. Kena faham keadaan ini.
“Kita doa jangan ada apa-apa berlaku. Kalau ada apa-apa berlaku, kita tak boleh buka laluan ini, ” katanya ketika meninjau lokasi runtuhan tanah di sini hari ini.
Mengenai rungutan pekebun sayur di Cameron Highlands yang tidak dapat membawa keluar hasil tanaman mereka disebabkan laluan tersebut ditutup, beliau berharap mereka bersabar.
Menurutnya, ini kerana kerja-kerja pembaikan runtuhan perlu dibuat sebaik mungkin.
“Kita faham sayur penting sebagai makanan atau kerja harian itu juga penting, tapi yang lebih penting adalah nyawa.
“Kalau jalan tidak selamat, ia akan melibatkan nyawa. Itu yang penting bagi kami di kementerian dan juga di JKR (Jabatan Kerja Raya),” katanya.
Alexander berpuas hati dengan kerja-kerja pembaikan yang dilakukan ketika ini melibatkan pembersihan tanah, pemasangan plastik kanvas serta pemasangan gabion dengan perbelanjaan RM500,000.
Menurutnya, keseluruhan kerja di dalam skop kerja kecemasan itu dijangka disiapkan hujung Disember ini.
“Kerja-kerja pembaikan pembaikan kekal yang dianggarkan bernilai RM20 juta. Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR mengesyorkan kerja pembaikan kekal dilaksana segera menggunakan kaedah kerja sama ada soil nailing dan gunite atau lope reprofile, soil nailing dan hydroseeding atau rockshed,” katanya.
Menurutnya, pihaknya akan menyegerakan kerja pembaikan malah mengguna duit kewangan dalaman kementerian sedia ada terlebih dahulu dan akan menuntut balik daripada kementerian lain.
“Pelaksanaannya mestilah melalui langkah-langkah tertentulah secara berperingkat. Kita tidak mahu terlalu tergesa-gesa kerana bimbang kualiti tidak seberapa,” katanya.
Laluan tersebut runtuh pada 23 Oktober lalu dengan anggaran ketinggian runtuhan cerun 70 meter dan lebar sepanjang 100 meter. – UTUSAN