DUNGUN: Penduduk di lima buah kampung di Hulu Dungun, dekat sini, berisiko terputus hubungan jalan darat setelah laluan alternatif di Kilometer 3, Kampung Besol ke Kampung Rantau Panjang mengalami kerosakan teruk akibat hakisan sejak seminggu lalu.
Jalan sejauh 10 kilometer yang rosak itu sedang dalam proses pembaikan, ditutup sebahagiannya berikutan terdapat runtuhan baharu.
Penduduk, Nasaruddin Mohd. Salleh, 48, berkata, laluan itu merupakan satu-satunya jalan darat yang boleh diakses untuk penghantaran bantuan dan bekalan makanan ketika banjir melanda berikutan laluan lain dinaiki air.
“Jalan ini runtuh separuh dan sekiranya ia runtuh keseluruhannya kita bimbang ia mengakibatkan penduduk terputus hubungan jalan darat,” katanya ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Penduduk, Che Azmi Ibrahim, 56, menggunakan laluan itu untuk ke Bandar Dungun atau Bandar Bukit Besi lantaran lebih dekat dan merupakan jalan alternatif, namun keadaan jalan itu kini menimbulkan kebimbangan kerana cerunnya tinggi.
“Agak bahaya melalui jalan ini sebab kita tidak nampak pergerakan bawah tanah malah lebih berisiko bagi pengguna jalan raya terutamanya ketika waktu malam,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi berkata, laluan tersebut penting sebagai jalan perhubungan penduduk di lima buah kampung iaitu Kampung Minda, Kampung Talong, Kampung Tepus, Kampung Rantau Panjang dan Kampung Kuala Jengai ketika banjir.
“Sekiranya jalan ini terputus terus, kita mungkin perlu menggunakan laluan sungai untuk penghantaran bekalan makanan tambahan ketika banjir,” katanya. – UTUSAN