Jaguh muda capai impian - Utusan Malaysia

Jaguh muda capai impian

AHMAD Salahuddin Hidayatullah (lima kiri) bersama pesilat lain yang menyertai kejohanan Seni Silat Gayong Malaysia Kebangsaan Hilir Perak di gelanggang Raja Haji Fissabilillah Kota Astaka Nilam Kampung Selabak Dalam, Teluk Intan, Perak, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA pelajar yang minat dalam bidang acara masing-masing membuktikan usaha gigih akhirnya mencapai impian bergelar juara

Bagi mereka, minat sahaja tidak mencukupi selagi tidak berusaha bersungguh -sungguh, maka impian hanya tinggal impian dan tidak boleh direalisasikan ke pentas juara.

Ini yang dibuktikan oleh dua pelajar iaitu Muhammad Damien Darius Mat Zailani yang cenderung kepada muaythai.

 

Kejayaaannya merangkul kejuaraan Muaythai Amatur 12 hingga 13 tahun bagi 28 hingga 30 kilogram anjuran Pertubuhan Amal Kebajikan Sahsiah Islam (PAKSI) Malaysia dan Lion Muay Thai Team di Johor Bahru mendorong Muhammad Damien Darus iaitu seorang murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jelor, untuk menjadi petarung profesional pada masa hadapan.

Muhammad Damien Darus, 12, berkata, kejayaan itu dijadikan sebagai tonik untuk dia lebih fokus dan bekerja keras dalam mengejar cita-cita menjadi jaguh sukan berkenaan.

“Walaupun perjalanan masih jauh dan banyak lagi ilmu perlu ditimba, namun saya sama sekali tidak akan mengalah.

“Begitu juga dengan pelajaran, bagi saya ia penting kerana ilmu merupakan panduan untuk mengejar cita-cita sebagai petarung profesional nanti,” katanya.

KEJOHANAN Seni Silat di Peringkat Negeri Perak yang di anjurkan oleh JKKN Perak

Anak keenam daripada sembilan beradik murid tahun enam yang mewakili Kelab Muaythai Pancadelima memberitahu, dia menjalani latihan setiap hujung minggu di Kampung Pantai Melawi, Bachok.

Katanya, dia memasang impian untuk mengikut jejak Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, 18, yang semakin mencipta nama dalam sukan muaythai,

Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, merupakan atlet muaythai Malaysia yang jaguh dalam acara tersebut.

Ujarnya, sehingga kini dia memiliki dua pingat emas kejohanan muaythai amatur yang ditandinginya di Melaka dan Johor Bahru mana kala satu pingat gangsa dalam kejohanan di Nilai, Negeri Sembilan.

MUHAMMAD Damien Darius Mat Zailani menunjukkan kejayaan dalam sukan muaythai. – UTUSAN/TOREK SULONG

 

“Guru muaythai saya, Pak Khoidir banyak memberi perangsang, semangat dan didikan mendorong saya meminati sukan ini,” katanya.

Hal yang sama dirasai Ahmad Salahuddin Hidayatullah Shahrul Nizam, 12, yang berminat dalam ilmu persilatan.

Dia yang sering melihat dan mengikut bapanya mengajar silat, mendorong Ahmad Salahuddin Hidayatullah, mempelajari dan mendalami ilmu persilatan.

Minat yang semakin hari semakin mendalam akhirnya membuahkan hasil apabila dia bukan sahaja menguasai silat tetapi juga meraih beberapa kejayaan dalam kejohanan silat peringkat kebangsaan yang disertainya.

Antara kejayaan yang dicapai Ahmad Salahuddin Hidayatullah ialah membawa pulang pingat gangsa pada Kejohanan Silat Serumpun Peringkat Kebangsaan di AEON Falim, Ipoh pada Mei lalu.

Dia juga menyertai Kejohanan Silat Seni Kreatif bersempena Festival Silat Seni Gerak Kreatif dan Muzik Tradisional Nusantara 2024 peringkat kebangsaan di Summit USJ, Selangor baru-baru ini.

“Kejayaan yang saya raih memberikan semangat untuk saya terus aktif dalam bidang ini dan mahu mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya.

Silat bukanlah asing bagi Ahmad Salahuddin Hidayatullah yang mula mengenal seni mempertahankan diri itu seawal usia empat tahun.

Ini kerana dia sering mengikuti ayahnya yang merupakan seorang guru silat, sama ada berlatih dan menghadiri program atau acara silat.

“Sejak itu timbul minat untuk saya belajar silat. Saya suka silat sebab terdapat gerakan-gerakan tempur dan jurus yang amat menarik.

“Lebih daripada itu saya mahu mewarisi seni mempertahankan diri dan melestarikan seni budaya silat. Saya juga mahu mengikut jejak ayah saya yang merupakan seorang guru silat,” katanya.

Adiknya, Ahmad Sayyidin Shafiullah, 8, juga meminati silat dan sudah mula aktif dalam persilatan.

AHMAD Salahuddin Hidayatullah yang berminat dalam ilmu persilatan menunjukkan pencapaiannya dalam beberapa kejohanan.

Bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu Lanjut, Sepang di Selangor, namun Ahmad Salahuddin Hidayatullah hampir setiap minggu ke Teluk Intan kerana belajar silat di satu kawasan binaan yang dilengkapi beberapa struktur mirip sebuah kota Melayu di Teluk Intan yang dinamakan Kota Astaka Nilam.

Katanya, dia seronok belajar silat di Kota Astaka Nilam, kawasan seluas setengah ekar yang didirikan balai adat, teratak, gelanggang silat, balai gendang, menara kawalan dan pintu gerbang manakala di ruang balai dipamerkan pelbagai senjata orang Melayu seperti keris, lembing, parang, pedang serta rotan manau panjang.

“Saya bercita-cita untuk menjadi atlet silat profesional dan mewakili negara dalam sukan ini,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Shahrul Nizam Ahmad Sharudin, 45, berkata, anaknya itu mula aktif dalam persilatan sejak umur empat tahun dengan meniru gerakan silat dan dari situ dia mengesan bakat anaknya seterusnya digilap.

Katanya, dia mengajar anak-anaknya ilmu persilatan seterusnya menyertai pertandingan dan lama kelamaan kemahiran anaknya semakin meningkat dan berjaya dalam kejohanan yang disertainya.

“Saya pastikan anak-anak aktif supaya ilmu persilatan yang ada pada saya dapat diwariskan kepada mereka untuk meneruskan amanah ini bagi mendidik anak bangsa dalam silat.

“Begitupun saya akan pastikan pelajarannya tidak terjejas. Untuk itu saya mengatur masa untuk belajar silat, belajar di sekolah dan sekolah agama serta tuisyen supaya silat dan pelajaran seiring,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya