KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Bell Ngasri tampil berkongsi asam garam yang pernah dilaluinya sepanjang bergelar anak seni.
Menerusi video yang tular di platform TikTok, Bell turut memberi gambaran tentang kehidupan menjadi seorang artis yang perlu komited terhadap kerjaya itu sepenuhnya
“Jadi pelakon dan artis ini hanya mati saja sebenarnya baru boleh tidak datang ke lokasi penggambaran,” katanya.
Tambah pelakon filem 18 Puasa di Kampong Pisang itu, dia pernah tetap disuruh datang ke lokasi penggambaran meskipun baru sahaja terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Kata Bell, mungkin sikapnya yang kurang serius dan kelakar membuatkan sesetengah produksi tidak percaya dengan kata-katanya sehinggakan perlu membuktikan kebenarannya.
“Saya pernah sakit, tapi orang suruh datang juga. Pernah sekali saya kemalangan tapi orang kata saya tipu. Mungkin ada yang menganggap saya jenis ‘kaki kencing’, saya pun tidak ingat.
“Cerita dia begini, saya kemalangan masa tunggang motosikal dan maklumkan pada pihak produksi bahawa saya tidak boleh hadir sebab mahu cuci luka dan sebagainya.
“Tapi mereka tidak percaya dan suruh saya datang juga. Saya datang juga dengan keadaan berdarah barulah mereka suruh saya balik. Itupun, diberi hanya satu hari untuk cuti,” jelasnya. – UTUSAN