Jaclyn Victor gigih tiga kali ‘terbang’ ke New York demi hasilkan album baru - Utusan Malaysia

Jaclyn Victor gigih tiga kali ‘terbang’ ke New York demi hasilkan album baru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cecah usia dua dekad dalam industri muzik, penyanyi, Jaclyn Victor memaklumkan dia bakal melancarkan album terbaharunya yang dirakam sepenuhnya di New York.

Enggan mendedahkan kos keseluruhan album tersebut, Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 46, hanya menunggu masa yang sesuai untuk melancarkan album yang memuatkan 10 lagu baru itu.

“Sepatutnya dua minggu lepas konsert saya lancarkan album terbaharu saya. Tapi atas beberapa faktor, saya masih lagi menunggu masa yang sesuai.

“Saya dah bersedia dan tak sabar. Kesemua lagu dalam album itu dirakamkan di New York. Ada 10 lagu. Setakat ini, sudah ada beberapa lagu yang telah dilancarkan,” katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Kita Bagi Jadi CIMB, baru-baru ini.

Tambah Jaclyn, album itu terhasil secara spontan dan dibantu oleh dua rakan komposer yang kini sudah menetap di kota metropolitan itu.

Malah, penyanyi lagu Gemilang itu sanggup berulang alik ke New York sebanyak tiga kali demi menghasilkan sesuatu yang bermakna buat dirinya dan peminat sempena 20 tahun penglibatannya dalam bidang nyanyian.

“Sebenarnya saya ada kawan komposer yang berasal dari Malaysia tapi mereka menetap di sana. Nama mereka Adrian Puan dan Gerald Cellan.

“Saya terbang ke sana sebanyak tiga kali untuk hasilkan satu album lengkap. Saya rasa ini saja cara saya berikan sesuatu sempena 20 tahun dalam industri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Jaclyn turut memberi bayangan lagu-lagu yang terkandung dalam album tersebut mempamerkan sisi lain dirinya yang tidak diketahui ramai.

Bukan itu sahaja, hala tuju muziknya juga dikatakan berbeza berbanding lagu hitsnya yang sebelum ini sudah mendapat tempat di hati peminat.

“Saya rasa album ini menonjolkan sisi lain saya yang mungkin sebelum ini orang tidak tahu. Saya suka mengkaji dan buat perkara yang lain walaupun saya dimaki dan dikeji.

“Apa yang membezakannya adalah hala tunjuk muzik itu sendiri. Bunyi dia pun lain sikit berbanding lagu saya sebelum ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Jaclyn merupakan antara 100 artis yang bakal membuat persembahan selama 100 minit di Konsert Kita Bagi Jadi demi meraikan ulang tahun syarikat perbankan terkemuka, CIMB Bank yang ke-100 tahun yang bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 24 November ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya