Itu semua kerja Tuhan - Aprena Manrose

Itu semua kerja Tuhan – Aprena Manrose

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Aku benci mulut orang yang ‘terpaling’ tahu semua benda.”

Demikian kata pelakon, Aprena Manrose, yang turut menghadapi situasi sama seperti aktres, Janna Nick tatkala usaha mereka dan pasangan cuba untuk mendapatkan zuriat kerap dipersoalkan.

Menurut pemilik nama penuh Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 31, dia juga mula rimas setiap kali diajukan soalan sama dari beberapa pihak yang disifatkan kurang sensitif mengenai perkara tersebut.

“Aku faham macam mana Janna rasa sebab aku lagilah lapan tahun tahan dengan mulut orang. Sakitnya hati ni Allah je tahu. Ingat saya dan suami tak nak anak ke? Ingat kami tak usaha ke?,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram Story.

Dalam masa sama, pelakon drama Tiada Arah Jodoh Kita itu turut menegaskan agar isu ini dapat membuka mata ramai pihak supaya lebih sensitif memandangkan soal zuriat ini terletak pada perancangan yang Maha Berkuasa.

“Itu semua kerja Tuhan lah. Tolong jangan nak tanya-tanya dah. Aku baranlah,” katanya lagi.

Sebelum ini, Aprena memaklumkan dia dan suaminya, Mohd. Afiq Hazman pernah melakukan pelbagai ikhtiar untuk mendapatkan nak termasuk proses rawatan kesuburan in-vitro (IVF) pada 2022 namun tiada rezeki.

Terdahulu, Janna telah meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan seorang pengguna media sosial yang mendakwa suaminya, Dini Schatzmann terlebih hormon wanita yang menyebabkan mereka belum ada rezeki untuk mempunyai zuriat.

Tidak mampu menahan sebak dengan kenyataan tersebut, Janna turut menangis meminta agar orang ramai berhenti untuk bertanya soal zuriat kerana dia dan Dini sudah cuba pelbagai ikhtiar untuk memiliki cahaya mata termasuklah IVF.

Dalam perkongsian tersebut, Janna juga turut menyatakan dia dan suaminya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan selepas membuat pemeriksaan kesuburan secara mendalam. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN