IPOH: Ahli akar umbi Parti Amanah Negara (Amanah) berhak untuk menyuarakan keinginan untuk parti itu bertanding sebanyak 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu bagaimanapun berkata, keputusan akhir tentang hasrat tersebut akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti di peringkat nasional.
“Ahli di bawah boleh bercakap, itu hak mereka. Tapi keputusan akhirnya akan dibuat oleh pimpinan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Konvensyen Amanah Perak di sini, hari ini.
Pada minggu lalu, Amanah Johor memutuskan untuk bertanding di 20 kerusi DUN pada PRN akan datang dengan jumlah kerusi tersebut muktamad sama ada Pakatan Harapan (PH) bertanding sendiri mahupun bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN).
Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, tiada halangan dibuat terhadap ahli parti itu untuk memberi pandangan sepertimana yang berlaku sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota pada 28 September lalu.
“Macam dulu, Amanah hendak bertanding di DUN Mahkota. Bila pimpinan nasional buat keputusan DUN itu ditandingi UMNO, ahli Amanah Johor tetap bekerja kuat dan peti undi yang diamanahkan kepada Amanah untuk dijaga, menang dengan cemerlang,” katanya. – UTUSAN