PETALING JAYA: Penyanyi dan pempengaruh, Cik B, pelik apabila warganet seperti tidak sabar mendesaknya memberi penjelasan berhubung isu aset mewah ibunya, Datuk Seri Vida yang disita, semalam.
Cik B atau Edlynn Zamileen Mohd Amin, 19, meminta orang ramai untuk bertenang dan sabar menunggu perkembangan kes tersebut.
“Kenapa ramai yang tidak relaks ini? Harap semua bertenang.
“Sabar ya,” tulisnya pendek menerusi sebuah hantaran di aplikasi X, pagi Selasa.
Dalam pada itu, Datuk Seri Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 53, baru melantik seorang peguam, Datuk Adnan Seman, untuk menangani kes tuntutan hutang dan sitaan melibatkan aset mewah miliknya.
Peguamnya, Adnan Seman, mengesahkan sudah menerima dokumen pelaksanaan writ penyitaan dan memaklumkan DSV kini berada di luar negara.
“Saya telah diarahkan oleh anak guam untuk menyatakan bahawa tuntutan tersebut sememangnya dipertikaikan dan saya akan meneliti semua dokumen berkaitan bagi menentukan tindakan seterusnya di sisi undang-undang,” tulisnya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Terdahulu, tular di media sosial apabila aset berupa barangan dan kereta mewah milik usahawan itu disita selepas arahan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Vida didakwa gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kepada sebuah syarikat kontraktor pembinaan AH Design Communication Sdn Bhd sebanyak RM1,060,285 pada tahun 2018. -UTUSAN