Isu mimpi bertemu Nabi: Iktiraf peranan tokoh agama berwibawa perjelas isu

Isu mimpi bertemu Nabi: Iktiraf peranan tokoh agama berwibawa perjelas isu

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pendekatan yang diambil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menyerahkan isu mimpi Presiden Pas bertemu Nabi, kepada Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan perlu dilihat secara positif.

Ketua Penerangan pertubuhan Kor Akwam 181, Afif Nasir berkata, pendekatan itu adalah sebagai satu sikap mulia sesame tokoh agama bagi mengiktiraf peranan pihak berwibawa agama dalam menjawab isu tersebut.

Dalam hal ini, kata beliau, tindakan mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi pendekatan yang diambil itu dengan niat mempertikai kredibiliti Menteri Agama adalah tidak wajar dan tidak menggambarkan kematangan.

“Seorang tokoh agama perlu bertindak dengan penuh bertanggungjawab serta sentiasa memupuk perpaduan dan rasa hormat agar ia menjadi amalan dalam masyarakat.

“Semua pemimpin khususnya tokoh agama diharap dapat memberikan keutamaan berlandaskan maqasid syariah dalam apa jua tindakan semoga ajaran Islam terus dipandang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle mempertikaikan tindakan Mohd. Na’im yang menyerahkan isu tersebut untuk dijelaskan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Datuk Nooh Gadut.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial video Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa bermimpi bertemu Rasulullah di masjid kawasan Parlimennya di Pantai Timur.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan tiada paksaan bagi mana-mana pihak untuk mempercayai pendedahan Abdul Hadi yang tular di media sosial.

Dalam pada itu, Afif berkata, sikap anggota pentadbiran kerajaan dan ahli politik yang merujuk penentuan hukum syarak kepada pihak berwibawa agama seperti Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Negeri adalah bagi mengelakkan suatu perkara dipolemik tanpa noktah.

Katanya, ia sekali gus sebagai penjernihan berlandaskan ajaran Islam yang sebenar tanpa kecenderungan dan kepentingan politik kepartian masing-masing. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN